Saturday, November 8, 2008

KHAWARIJ MODEN

Khawarij Moden[1]

Oleh : Dr Azwira Abdul Aziz ,Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi

Pendahuluan
Berdasarkan nas-nas syarac dan fakta-fakta sejarah, Khawarij dianggap sebagai kumpulan sesat yang terkeluar daripada kelompok Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah disebabkan ideologi dan tindakan mereka yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Meskipun pada zahirnya mereka nampak sangat beriltizam dengan ajaran agama, namun hakikatnya mereka telah terkeluar dari Islam melalui lidah Nabi s.a.w. sendiri. Bahkan baginda menyatakan kesungguhan untuk memerangi dan menghapuskan mereka seluruhnya serta menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T bagi sesiapa yang memerangi mereka

[1] Kertas dibentangkan dalam Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, anjuran INTIS Consultant & Training di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

Juga edisi PDF di sini


. Ulama firaq telah menggunakan beberapa istilah tertentu seperti al-Muhakkimah[2], ash-Shurah[3], al-Haruriyyah[4], al-Harariyyah[5], an-Nawasib[6] dan al-Mariqah[7] sebagai gelaran bagi puak khawarij yang memang ada signifikasinya tersendiri[8]. Gelaran khawarij moden bukan dilihat dari segi persamaan nama dan gelaran, kerana dalam konteks semasa tiada sesiapa lagi yang memakai gelaran-gelaran khawarij lampau. Tetapi apa yang dilihat sebenarnya ialah persamaan ideologi dan ciri antara kelompok-kelompok umat Islam semasa dengan puak khawarij terdahulu. Justeru, untuk mengetahui kelompok manakah yang menyamai puak khawarij serta layak untuk ‘ditabalkan’ sebagai khawarij moden, maka perlu difahami terlebih dahulu apakah definisi, ideologi dan ciri golongan khawarij itu.

Definisi

Perkataan khawarij dari segi bahasa adalah kata jamak bagi kharij, bermaksud ‘yang keluar’, manakala dari segi istilah ia ditakrifkan sebagai: golongan yang melucutkan ketaatan dan mengisytiharkan penentangan terhadap khalifah yang sah[9]. Dari segi sejarah, nama khawarij dikhususkan kepada kumpulan terawal yang melucutkan ketaatan terhadap Khalifah cAli Ibn Abi Talib r.a[10]. Para fuqaha Islam menamakan golongan penentang khalifah yang ada kekuatan pengikut sebagai bughah[11]. cAbd Al-Qahir al-Baghdadi (M 429 H) membahagikan mereka kepada 20 puak [12], namun, secara umumnya hanya enam puak sahaja yang dilihat sebagai puak utama, iaitu: al-Muhakkimah al-Ula, al-Azariqah, an-Najdat, as-Sufriyyah, al-cAjaridah, al-Ibadiyyah dan ath-Thacalibah, daripada enam puak inilah terpecahnya pelbagai cabang puak khawarij yang lain[13].

Hadith Berkenaan Khawarij

Golongan khawarij diberi perhatian serius dalam pengajian aqidah Islam kerana banyak hadith Nabi s.a.w. yang berstatus mutawatir telah mengisyaratkan tentang ancaman dan bahaya kesesatan mereka. Boleh dikatakan semua pembuku hadith ada meriwayatkan hadith tentang mereka, cuma yang berbeza hanyalah pada panjang pendeknya. Kata Abu Sacid al-Khudriyy r.a.:

بعث علي رضي الله عنه وهو ظاهرا من اليمن بذهبة في أديم مقروظ لم تحصل من ترابها إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقسمها رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أربعة نفر الأقرع بن حابس الحنظلي وعيينة بن بدر الفزاري وعلقمة بن علاثة العامري وزيد الخير الطائي، فغضبت قريش فقالوا أيعطي صناديد نجد ويدعنا كنا نحن أحق بهذا من هؤلاء. فبلغ ذلك النبي صلى الله عليه وسلم فقال: ألا تأمنوني وأنا أمين من في السماء يأتيني خبر السماء صباحا ومساء إني إنما فعلت ذلك لأتألفهم. فقام رجل من بني تميم ذو الخويصرة كث اللحية مشرف الوجنتين غائر العينين ناتىء الجبين محلوق الرأس مشمر الإزار فقال اتق الله يا محمد! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ويلك أو لست أحق أهل الأرض أن يتقي الله فمن يطع الله إن عصيته أيأمنني على أهل الأرض ولا تأمنوني ومن يعدل إن لم أعدل قد خبت وخسرت إن لم أعدل؟ ثم أدبر الرجل فقال عمر بن الخطاب (أو خالد بن الوليد): يا رسول الله ألا أضرب عنقه؟ فقال: لا لعله أن يكون يصلي، معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي. قال: وكم من مصل يقول بلسانه ما ليس في قلبه. فقال: إني لم أومر أن أنقب عن قلوب الناس ولا أشق بطونهم. ثم نظر إليه وهو مقف فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إنه يخرج من ضئضيء هذا قوم أحداث الأسنان سفهاء الأحلام يقولون من خير قول البرية ليس قراءتكم إلى قراءتهم بشيء ولا صلاتكم إلى صلاتهم بشيء ولا صيامكم إلى صيامهم بشيء تحقرون صلاتكم مع صلاتهم يقرأون القرآن يحسبون أنه لهم وهو عليهم يقرأون القرآن لينا رطبا لا يجاوز حناجرهم يقتلون أهل الإسلام ويدعون أهل الأوثان يمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية ينظر إلى نصله ورصافه ونضِيّه وقُذذه فلا يوجد فيه شيء، سبَق الفرْثَ والدّمَ، لئن أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد فإذا لقيتموهم فاقتلوهم فإن في قتلهم أجرا لمن قتلهم عند الله يوم القيامة، آية ذلك فيهم رجل أسود مـُخْدَج اليد ليس له ذراع على رأس عضده مثل ثدي المرأة أو مثل البضعة تدردر عليه شعرات بيض، سيماهم التحليق هم من شر الخلق يقتلهم أدنى الطائفتين إلى الحق، يخرجون على حين فرقة من الناس. قال علي: لو لا أن تَبْطَروا لحدّثتكم بما وعد الله الذين يقتلونهم على لسان محمد صلى الله عليه وسلم. قال أبو سعيد: فأشهد أني سمعت هذا من رسول الله صلى الله عليه وسلم وأشهد أن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قاتلهم وأنا معه فأمر بذلك الرجل فالتمس فوجد فأتي به حتى نظرت إليه على نعت رسول الله صلى الله عليه وسلم الذي نعت".

Maksudnya: “cAli r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda membahagikannya kepada al-Aqrac Ibn Habis al-Hanzaliyy, cUyainah Ibn Badr al-Fazariyy, cAlqamah Ibn cUlathah al-cAmiriyy dan Zaid at-Taiyy. Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka. Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekelian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil? Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan, boleh jadi dia bersolat, minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut”. Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka. Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda; “Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum cAd, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. pada Hari Kiamat. Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak. Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala)[14], mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Kata cAli r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”. Kata Abu Sa’id r.a: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) cAli Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.”[15].

Ideologi Dan Ciri Khawarij

Hadith di atas mengandungi banyak penjelasan tentang tanda dan sifat puak khawarij. Maka itu Imam Muslim meletakkannya di bawah beberapa judul bab, antaranya bab berjudul: “Bab pada menyatakan (ciri-ciri) Khawarij dan sifat-sifat mereka”[16]. Namun, sebahagian daripada ciri-ciri itu adalah tanda-tanda fizikal khusus bagi puak khawarij yang muncul di zaman para Sahabat r.a. Tanda-tanda seperti berkepala botak, berkulit hitam, bertangan pendek, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol dan berkain singkat tidak boleh dijadikan ukuran dan tidak boleh dipantulkan ke atas mana-mana individu atau golongan pada hari ini. Justeru, kertas ini akan fokus kepada beberapa ciri umum yang menunjukkan persamaan dan perkaitan antara golongan khawarij lama dan khawarij moden. Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Suka Bertakalluf.

Takalluf bermaksud menimbulkan persoalan yang tidak perlu atau buat perkara yang susah atau memikul beban yang tidak biasa dipikul[17]. Allah S.W.T berfirman (maksudnya): "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta daripada mu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari golongan yang bertakalluf"[18]. Seorang lelaki bertanya cUmar Ibn Al-Khattab r.a. maksud perkataan abba yang terkandung dalam ayat 31 surah cAbasa, tetapi cUmar tidak melayan persoalan lelaki itu, sebaliknya beliau menjawab: “Kami dilarang daripada bertakalluf[19]. Para Sahabat r.a. sedia memahami maksud perkataan abba itu sebagai sejenis tumbuhan yang terdapat dalam Syurga. Meskipun mereka tidak tahu jenis dan bentuknya secara terperinci, namun kefahaman itu sudah memadai untuk memberi keyakinan terhadap Hari Akhirat dan nicmat Syurga. Justeru, mereka menahan diri daripada menyoal Nabi s.a.w. mengenai perinciannya kerana pertanyaan seumpama itu termasuk dalam ertikata takalluf yang dilarang syarac. Imam Al-Bukhari (M 256 H) ketika meriwayatkan hadith ini, meletakkannya di bawah bab berjudul:

"Bab: (Pada menyatakan) perkara yang makruh (dibenci), seperti banyak bersoal dan takalluf dengan persoalan yang tidak berfaedah serta (pada menyatakan) firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Jangan kamu bertanya tentang sesuatu yang jika diberitahu ia akan menyusahkan kamu"[20].

Berdasarkan judul bab Bukhari ini, dapat disimpulkan bahawa persoalan berlebihan tanpa faedah yang bersifat memaksa dan menyiksa adalah sebahagian daripada ciri-ciri takalluf yang dilarang oleh syarac. Dalam hadith lain, Al-Mughirah Ibn Syucbah r.a, berkata: "Sesungguhnya baginda s.a.w. melarang daripada bercakap begitu begini, juga daripada banyak bersoal (perkara tidak perlu)"[21]. Menjelaskan maksud hadith ini, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-cAsqalani (M 852 H) berkata: “Oleh itu, sekumpulan ulama salaf tidak suka mempersoalkan perkara yang tidak berlaku kerana ia mengandungi maksud takalluf dan melampau serta melontar andaian tanpa keperluan dalam perkara agama”[22].

Islam jelas melarang umatnya daripada mempersoal dan mengandaikan perkara agama sehingga melebihi dan bercanggah dengan kehendak nas. Apatah lagi jika persoalan dan andaian itu hanya akan menambahkan beban kesusahan. Malangnya, perkara seperti inilah yang sangat digemari oleh golongan Khawarij sehingga ia menjadi faktor utama yang menyesatkan mereka. Lihatlah bagaimana mereka mempersoalkan pembahagian harta yang dibuat oleh Nabi s.a.w., meskipun baginda telah memberikan alasan yang begitu lojik dan islamik, namun mereka tetap mempertikaikannya. Kemudian mereka pertikaikan pula segala pendapat dan ijtihad para Khalifah Islam sehingga akhirnya mereka sanggup mengkafir, memerangi dan membunuh para Sahabat r.a. Semua itu adalah kerana sikap mereka yang suka bertakalluf dalam perkara agama. Dalam sebuah hadith, seorang perempuan bernama Ma’azah berkata:

“Aku bertanya Aishah r.a. kenapa wanita haid wajib qada (ganti) puasa tetapi tak perlu ganti solat”? Lalu beliau bertanyaku: “Adakah kamu seorang haruriyyah”? Aku menjawab: “Aku bukan dari golongan haruriyyah cuma saja aku nak tanya”. Lalu beliau menjawab: “Kami datang haid (pada zaman Nabi s.a.w.) lalu kami disuruh supaya qada puasa dan kami tidak disuruh supaya qada solat”[23].

Aishah r.a. bertanya Ma’azah tentang kecenderungan mazhabnya kerana persoalannya itu mengandungi unsur takalluf yang telah menyesatkan puak khawarij. Para Sahabat di zaman Nabi s.a.w. menerima syariat seumpama itu dengan mudah tanpa mempersoalkannya, sehingga muncullah puak khawarij yang mempersoalkannya. Lalu mereka mewajibkan perempuan haid qada solat sebagaimana qada puasa, bahkan ada yang mewajibkan kedua-dua solat dan puasa ke atas perempuan haid.

2. Menolak Konsep Taysir.

Islam adalah agama yang menekankan prinsip at-taysir (memudah dan meringankan) sebagai salah satu dasar utamanya. Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, tiada sesiapa yang menjadikan agama ini susah melainkan dia akan tewas. Maka hendaklah kamu perbetulkan, dekatkan, gembirakan dan mohonlah pertolongan (gunalah kesempatan) daripada perjalanan pada waktu pagi dan petang serta sedikit daripada perjalanan pada waktu awal malam”[24].

Dalam sebuah hadith lain, ketika Nabi s.a.w. mengutuskan Mucaz Ibn Jabal r.a. dan Abu Musa Al-Asycari r.a. ke Yaman, baginda berpesan kepada kedua-duanya: “Hendaklah kamu berdua permudahkan jangan menyusahkan, gembirakan jangan menakutkan, hendaklah saling bekerjasama dan jangan berbeza pendapat”[25]. Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadith ini di bawah beberapa judul bab yang berbeza dalam kitab Sahihnya, antaranya di bawah bab berjudul: “Bab: (Pada menyatakan) sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu permudahkan jangan menyusahkan”, kerana sesungguhnya Baginda sukakan peringanan dan kemudahan untuk manusia”[26]. Disebabkan kejahilan mereka tentang sunnah, maka mereka pesimis terhadap sunnah-sunnah yang bersifat taysir, lalu mereka pertikai dan menolaknya. Dalam hal ini, Al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan:

كنا على شاطئ نهر بالأهواز نقاتل الحرورية فجاء أبو برزة الأسلمي على فرس فصلى وخلى فرسه فانطلقت الفرس فترك صلاته وتبعها حتى أدركها فأخذها ثم جاء فقضى صلاته فجعل رجل من الخوارج يقول: اللهم افعل بهذا الشيخ ترك صلاته من أجل فرس، فأقبل فقال إني سمعت قولكم، ما عنفني أحد منذ فارقت رسول الله صلى الله عليه وسلم وإني غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ست غزوات أو سبع غزوات وثمان وشهدت تيسيره وإني إن كنت أن أراجع مع دابتي أحب إلي من أن أدعها ترجع إلى مألفها فيشق علي إن منـزلي متراخ فلو صليت وتركت لم آت أهلي إلى الليل.

Maksudnya: “Kami sedang berada di tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah, tiba-tiba Abu Barzah Al-Aslamiyy datang menunggang kuda lalu bersolat sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya lantas beliau menghentikan solat dan mengejarnya sehingga dapat. Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya. Seorang lelaki khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah meninggalkan solatnya kerana seekor kuda”. Abu Barzah tampil seraya berkata: Sesungguhnya aku dengar kata-kata kamu, semenjak Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku, sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan (pendekatan) taysir baginda (dalam ibadat), sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama binatang tungganganku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya sehingga menyusahkanku, sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat dan biarkan nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke malam”[27].

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa golongan khawarij tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak, meskipun ia menepati sunnah Nabi s.a.w. dan menepati konsep taysir yang menjadi dasar penting dalam ajaran Islam.

3. Berpegang Dengan Falsafah ‘Bidah Hasanah’.

Dalam sebuah athar[28] sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asycari r.a. memberitahu Ibn Mascud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mascud menuju ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya:

“Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi s.a.w. masih ramai, baju baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di TanganNya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”.

Mendengar kata-kata Ibn Mascud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu cAbd Ar-Rahman[29]! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”. Mendengar jawapan mereka itu, lalu Ibn Mascud berkata: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka”[30]. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”. Menjelaskan kata-kata Ibn Mascud ini, cAmr Ibn Salamah[31] berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-Nahrawan [32].

Athar ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai adalah amalan bidcah puak Khawarij yang memerangi para Sahabat r.a. dalam peperangan an-Nahrawan. Manakala jawapan yang mereka berikan kepada Ibn Mascud r.a. itu pula menunjukkan bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah hasanah’.

4. Membalut Kebatilan Dengan Kebenaran.

Telah disebutkan sebelum ini bahawa puak khawarij dikenali dengan beberapa gelaran seperti al-Muhakkimah dan asy-Syurah yang menggambarkan seolah-olah mereka berada di atas landasan kebenaran. Gelaran al-Muhakkimah misalnya diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya mereka hanya berhukum dengan hukum Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, Dia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan"[33]. Begitu juga dengan gelaran asy-Syurah kerana mereka mendakwa kononnya mereka menjual diri mereka kepada Allah, sanggup berkorban nyawa keranaNya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli nyawa dan harta orang beriman dengan balasan syurga (kerana) mereka berperang pada jalan Allah…”[34].

Tidak dinafikan bahawa gelaran yang mereka pakai itu mengandungi maksud yang baik dari segi bahasanya, manakala slogan yang mereka laung-langkan itu juga adalah slogan yang benar pada asalnya. Namun, hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap khalifah dan umat Islam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya)…”. Menjelaskan hal ini cAli Ibn Abi Talib r.a. berkata: “Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”[35].

5. Membaca Quran Tanpa Penghayatan Dan Keikhlasan.

Sabda Nabi s.aw (maksudnya): “…Mereka membaca al-Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka…”. Menjelaskan maksud sabda ini, Imam an-Nawawi memetik kata-kata al-Qadi cIyad bahawa ia membawa dua pengertian, pertama: hati mereka tidak memahaminya dan mereka tidak mendapat manfaat daripada bacaan mereka dan kedua: segala amalan dan bacaan mereka tidak diangkat dan tidak diterima[36]. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith-hadith berkenaan Khawarij ini di bawah beberapa judul bab, antaranya: “Bab (pada menyatakan): dosa orang yang membaca al-Quran untuk riya’, mencari makan dengannya atau berbangga dengannya”[37] dan “Bab (pada menyatakan): bacaan orang jahat dan munafiq serta suara mereka dan bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka”[38].

6. Mengkafir Dan Memerangi Umat Islam.

Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala”. Ibn Umar r.a. mengangap mereka sebagai sejahat-jahat makhluk dan beliau (Ibn Umar) berkata: “Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”[39]. Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-Arabi membahagikan puak khawarij kepada dua kumpulan: Pertama, kumpulan yang mengkafirkan semua para Sahabat r.a. yang terlibat dalam perang Jamal, Siffin dan yang reda dengan Majlis Tahkim. Kedua, kumpulan yang mengkafirkan sesiapa saja yang melakukan dosa besar[40]. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan bahawa puak an-Najdah menambah pegangan takfir khawarij kepada sesiapa saja yang tidak keluar memerangi orang Islam, meskipun orang itu berpegang dengan aqidah mereka”[41].

7. Penyelewengan Aqidah

Imam Abu Hasan al-Ashcariyy (M 330 H) menegaskan bahawa pegangan tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah dan mereka sepakat menganggap al-Quran sebagai makhluk (bukan Kalam Allah)[42]. Kemudian al-Ashcariyy huraikan pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tactil dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat[43]. Puak Khawarij mempunyai titik kesepakatan dari segi mengkafirkan Khalifah cUthman Ibn cAffan dan cAli Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja[44].

Pendapat Khawarij Yang Bercanggah

Selain daripada ciri-ciri di atas, puak-puak khawarij juga berpegang dengan pelbagai pendapat yang menyalahi pendapat Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah dan saling bercanggah hatta di kalangan mereka sendiri. Antara pendapat mereka yang dilihat sebagai salah dan bercanggah itu ialah[45]:

1. Segala perbuatan hamba mengikut kehendak Allah semata-mata.

2. Menolak ijtihad dan berpegang dengan zahir al-Quran.

3. Menolak taklif sebelum diutus Rasul.

4. Menolak adanya azab kubur.

5. Harus tiada khalifah bagi umat Islam kerana mereka tidak perlu kepadanya.

6. Harus membunuh kanak-kanak dan wanita pihak yang menyalahi mereka.

7. Pelaku dosa besar adalah kafir dan kekal dalam neraka.

8. Tidak sah berkahwin dengan orang yang tidak mengkafirkan cUthman dan cAli r.a.

9. Semua orang yang menyalahi mereka adalah kafir atau musyrik.

10. Orang yang tidak berhijrah kepada mereka adalah musyrik.

11. Wajib menguji kesetiaan orang yang berhijrah kepada mereka dengan cara menyuruh orang itu membunuh tawanan. Jika tidak sanggup bermakna munafiq dan mereka akan membunuhnya.

12. Anak-anak orang yang menyalahi mereka adalah kekal dalam Neraka.

13. Menganggap negeri orang yang menyalahi mereka sebagai negeri kafir.

14. Menggugurkan hukum rejam ke atas penzina yang sudah beristeri.

15. Mengharuskan kekufuran para Nabi a.s. sebelum dan selepas mereka dilantik menjadi nabi.

16. Memotong tangan pencuri sampai ke bahu.

17. Wajib solat dan puasa ke atas perempuan haid.

18. Wajib qada solat ke atas perempuan haid sebagaimana qada puasa.

19. Mendakwa ayat 204 surah al-Baqarah khusus untuk Ali r.a.

20. Mendakwa ayat 207 surah al-Baqarah sebagai khusus untuk cAbd ar-Rahman Ibn Muljim (pembunuh Ali r.a.).

21. Penyokong mereka tidak akan masuk neraka Jahannam, jika berdosa mereka akan diazab dengan azab selain neraka Jahannam.

22. Sebahagian mereka menggugurkan hukum hudud bagi peminum arak, manakala sebahagian yang lain pula mengenakan hukuman yang sangat berat.

23. Melakukan dosa kecil secara berterusan adalah suatu kesyirikan bagi yang tidak menyokong mereka, tetapi bagi para penyokong mereka ia tidak pula dianggap syirik meskipun melakukan dosa besar.

24. Mengharuskan at-taqiyyah.

25. Harus melantik wanita sebagai Khalifah Agung.

26. Harus berkahwin dengan anak perempuan cucu lelaki (cicik) dan anak perempuan anak saudara lelaki.

27. Sifat munafik itu hanya khusus bagi golongan yang disebutkan dalam al-Quran.

Antara Ahbash Dan Khawarij

Puak Ahbash[46] pimpinan Abdullah al-Harari al-Habsyi yang muncul dan berpusat di Lubnan dilihat antara kelompok semasa yang paling banyak mempunyai persamaan dengan ciri-ciri puak Khawarij. Persamaan itu dilihat dari beberapa aspek, antaranya:

1. Kemunculan puak Ahbash di Lubnan ketika negara itu berada dalam konflik perang saudara sama seperti puak Khawarij dahulu yang muncul ketika umat Islam berpecah belah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Sebagaimana puak Khawarij mengambil kesempatan untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika keadaan umat Islam di zaman khalifah Ali r.a. berpecah belah, maka demikianlah juga puak Ahbash mengambil peluang untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika Negara Lubnan berada dalam keadaan huru-hara akibat perang saudara.

2. Mengaburi masyarakat dengan slogan dan gelaran indah, seperti gelaran ahli sunnah wa al-jamaah bagi puak mereka, gelaran al-allamah al-muhaddith (ulama hadith) bagi guru mereka al-Harari dan gelaran samahah asy-shiekh (gelaran mufti) bagi tokoh mereka yang bernama Nizar al-Halabi. Mereka juga mengaburi para pelajar Islam yang belajar di luar Negara seperti di Switzerland dengan dakwaan kononnya mereka adalah wakil Universiti al-Azhar Mesir.

3. Mengeluarkan fatwa-fatwa yang bercanggah dengan nas dan pendapat ulama muktabar, seperti boleh melihat, bercampur dan bersalam dengan wanita bukan mahram, boleh bertabarruj dan memakai wangi-wangian bagi wanita yang keluar rumah tanpa izin suami, boleh makan riba dan boleh bersolat dengan pakaian bernajis.

4. Mengatakan al-Quran itu adalah lafaz Jibril bukan Kalam Allah S.W.T.

5. Menafi atau mentakwil nas-nas Sifat Allah S.W.T.

6. Beriktiqad bahawa segala perbuatan hamba adalah mengikut kehendak Allah semata-mata.

7. Mengamal dan menggalakkan bidah seperti memohon hajat pertolongan di kubur, amalan tasauf sesat dan sambutan maulid.

8. Mencela para Sahabat r.a. terutamanya Muawiyah, Khalid Ibn al-Walid dan Aisyah r.a.

9. Mengkafir dan memerangi para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka seperti Sheikh Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Imam az-Zahabi, Muhammad Abdul Wahab, Nasiruddin Albani, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Said Ramadan al-Buti dan lain-lain. Mereka juga telah mengkafir dan memerangi para ulama Lubnan seperti Sheikh Subhi Saleh dan Faisal Maulawi sehingga ramai yang terpaksa melarikan diri ke Mesir dan Arab Saudi. Bahkan mereka telah mengkafir dan membunuh Mufti Lubnan yang bernama Hassan Khalid.

Kesimpulan

Berdasarkan fakta-fakta di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja hari ini yang mempunyai ciri dan sifat seperti khawarij, maka dialah yang layak untuk digelar khawarij moden. Demikian juga sebarang perkumpulan yang memiliki dasar dan pegangan yang sama dengan dasar dan pegangan khawarij, maka merekalah yang layak untuk digelar puak khawarij moden. Semakin banyak aspek persamaan, maka semakin dekatlah mereka dengan golongan tersebut. Meskipun mereka juga menyatakan kebencian terhadap Ibn al-Kawwa’, Ibn Muljim atau tokoh-tokoh khawarij lain dan meskipun mereka tidak pernah mengaku mereka khawarij, namun jika ideologi dan cirinya sama, maka mereka tetap khawarij. Ya, mereka adalah khawarij dari segi amalan dan pegangan, meskipun mereka bukan khawarij dari segi nama. Nama khawarij tentu tidak wujud pada mana-mana jamaah pada hari ini, kerana tiada sesiapa pun yang begitu bodoh untuk memakai nama kumpulan yang telah disepakati sebagai sesat. Tetapi amalan dan pegangan khawarij mungkin wujud sama ada dalam konteks individu atau kumpulan. Justeru, kertas ini mengajak sekelian kita supaya bermuhasabah agar kita dapat menjauhkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terpalit dengan sebarang ciri dan ideologi khawarij yang sesat dan menyesatkan itu.



[1] Kertas dibentangkan dalam Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, anjuran INTIS Consultant & Training di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

[2] Bermaksud: Orang yang berhukum, kerana mereka mendakwa berhukum kepada Allah S.W.T.

[3] Bermaksud: Orang yang menjual, kerana mereka mendakwa menjual nyawa kepada Allah S.W.T.

[4] Nisbah kepada perkampungan al-Harura’ di Iraq yang menjadi tempat perkumpulan mereka.

[5] Nama ini tersebut dalam kitab Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin.

[6] Kata jama’ bagi an-Nasib yang bermaksud: Orang yang sangat kuat penentangannya.

[7] Bermaksud: Orang yang keluar.

[8] Al-Ashcariyy, Abu al-Hasan cAli Ibn Ismacil (M 330 H), Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 206. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, t.th, hal: 103.

[9] Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 167. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[10] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[11] Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 167.

[12] cAbd Al-Qahir Ibn Tahir al-Baghdadi, Al-Farq Baina Al-Firaq, Al-Maktabah Al-cAsriyyah, Beirut, Lubnan, 1995, hal: 72.

[13] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[14] Kata al-Kirmani: “Golongan salaf tidak mencukur rambut mereka kecuali untuk ibadat haji dan umrah atau kerana keperluan, sedangkan puak khawarij menjadikannya suatu tabiat sehingga ia menjadi syiar dan identiti bagi mereka”. Lihat: Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 13:537.

[15] Al-Bukhari, No: 3166, 3414, 3415, 4094, 4770, 6531, 6532, 6533, 6995, 7121, 7122, 7123 dan Muslim, No: 1064-1066.

[16] Muslim, 2:740, No: 1064.

[17] Dr. Ibrahim Anis dan rakan-rakan, Al-Mucjam Al-Wasit, Mujamma Al-Lughah Al-cArabiyyah, Kaherah, Mesir, t.th, hal: 795.

[18] Al-Quran, Sad, 38: 86.

[19] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, 6: 2658, No: 6863.

[20] Al-Quran, Al-Maidah, 5: 101.

[21] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Macrifah, Beirut, t.th, 11: 306, No: 6473.

[22] Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 11: 307.

[23] Al-Bukhari, No: 315 dan Muslim, No: 335.

[24] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, 1: 23, No: 39.

[25] Ibid, 3: 1104, No: 2873.

[26] Ibid, 5: 2269, No: 5773.

[27] Al-Bukhari, No: 1153 dan 5776.

[28] Riwayat berkenaan amalan para Sahabat RA.

[29] Abu cAbd Ar-Rahman ialah kuniyah bagi Ibn Mascud RA.

[30] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 3166, 3415, 4094, 4770, 4771, 6531, 6532, 6995 dan 7123. Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-cArabiyy, Beirut, 1991, No: 1063, 1064 dan 1066.

[31] Seorang tabien thiqah dan juga murid kepada Ibn Mascud yang meriwayatkan athar tersebut.

[32] Ad-Darimi, cAbd Allah Ibn cAbd Ar-Rahman, Sunan Ad-Darimi, Dar Al-Kitab Al-cArabi, Beirut, Lubnan, 1407, 1: 79, No: 204. Sanadnya sahih. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[33] Al-Quran, Al-Ancam, 6: 57.

[34] At-Taubah, 9:111.

[35] Muslim, Dar Ihya’ at-Turath al-Arabiyy, Beirut, 1991, 2:749, No: 1066.

[36] An-Nawawi, Yahya Ibn Sharaf, al-Minhaj Fi Sharh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, al-Matbacah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1929, 7:159.

[37] Al-Bukhari, Dar al-Macrifah, 9:99.

[38] Al-Bukhari, Dar al-Macrifah, 13:535.

[39] Al-Bukhari (secara ta’liq dengan lafaz jazam), Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 12:282.

[40] Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 12:285.

[41] Ibid, 12:285.

[42] Al-Ashcariyy, Abu al-Hasan cAli Ibn Ismacil (M 330 H), Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 203.

[43] Ibid, 1: 235-237.

[44] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[45] Al-Ashcariyy, Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 167-212 dan cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 108, 112, 118, 126, 133, 137 dan 144.

[46] Fakta-fakta berkenaan puak Ahbash ini dirujuk dalam Bank Ahbash, atas talian: http://bankahbash.blogspot.com/

Wednesday, September 24, 2008

049 - ALLAH ISTIWA’ (BERSEMAYAM) DI ATAS ‘ARSY

ALLAH ISTIWA’ (BERSEMAYAM) DI ATAS ‘ARSY

Oleh:Brother Nawawi

BENARKAH ALLAH TIDAK BERTEMPAT


Rujuk juga Artikel sebelumnya di sini:

Manusia telah dicipta oleh Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Oleh itu, mereka wajib untuk mengenal dan mengetahui di mana Allah. Pengetahuan ini akan membuat seseorang itu menghadapkan dirinya, hatinya, doanya, sembahyangnya dan seluruh ibadahnya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan sebenar-benarnya.

Orang-orang yang tidak tahu di mana Tuhan mereka berada akan tersesat atau kesasaran kerana mereka tidak tahu ke mana sewajarnya mereka menghadapkan segala permohonan, penyerahan atau penumpuan ibadahnya.

Terdapat banyak keterangan yang berpandukan kepada khabar dari langit yang dipersetujui oleh para ulama Salaf as-Soleh tanpa khilaf bahawa wahyu itu turun dari langit, ini menunjukkan bahawa yang pemberi wahyu itu (Allah) "bertempat", iaitu Dia berada di langit dan bersemayam di atas 'Arasy-Nya.

Selain dari ayat-ayat al-Quran di atas yang telah menjelaskan hakikat sebenarnya di mana Allah, maka dalam hadith-hadith sahih terdapat banyak keterangan yang menunjukkan bahawa Allah itu di langit. Sebahagian besar ahli bid'ah, oleh kerana tidak memahami dengan baik dan dengan hasrat tidak mahu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya lantaran kejahilan mereka, lantas memutuskan dengan akal fikiran dan hawa nafsunya bahawa Allah tidak bertempat, kerana menurut mereka kalaulah Allah bertempat pasti Ia menyerupai makhluk-Nya. Semua pendapat atau kepercayaan yang sebegini adalah mungkar, batil dan menyeleweng, ia jelas amat bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih yang menjelaskan bahawa Allah itu di langit. Antara hadith-hadith yang dimaksudkan ialah:


قَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَبُّنَا الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ اَمْرُكَ فِى السَّمَاءِ وَالاَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِى السَّمَاءِ اِجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِى اْلاَرْضِ اِغْفِرْلَنَا حُوْبَنَا وَخَطَايَانَا اَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِيْنَ اَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَاءِكَ عَلَى الْوَجَعِ

"Ya Tuhan kami! Tuhan yang di langit, Engkau mensucikan nama-Mu (juga) urusan-Mu yang di langit dan di bumi. Sebagaimana halnya rahmat-Mu di langit itu, maka jadikanlah pula rahmat-Mu itu di bumi. Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan kami. Turunkanlah suatu rahmat dari antara rahmat-Mu dan suatu kesembuhan dari kesembuhan yang datang dari-Mu atas penyakit ini, hingga benar-benar sembuh". (H/R Abu Daud, No. 2892. Ahmad, 6/21. (Hadith hasan))


عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِـيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَـلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اَلْعَـرْشُ فَـوْقَ الْمَاءِ وَاللهُ فَوْقَ الْعَرْشِ لاَ يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ اَعْمَالِكُمْ. وَفِى الرِّوَايَةِ: وَهُوَ يَعْلَمُ مَا اَنْتُمْ عَلَيْهِ

"Dari Ibn Mas'oud radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: 'Arasy itu berada di atas air dan Allah berada di atas 'Arasy. Tidak satupun dari amal kamu yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya. Dan pada riwayat yang lain: Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan". (H/R Abu Daud, Abdullah bin Ahmad, Thabrani dan Baihaqi (Hadith hasan, sanadnya sahih))


اَلاَ تَامِنُوْنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ

"Tidakkah kamu mahu percaya kepada aku sedangkan aku dipercayai oleh Yang di langit (Allah)". (H/R Bukhari, No. 4351)

Pengertian ayat (فِى السَّمَآءِ) "Di langit" pada ayat ini ialah (عَلَى السَّمَآءِ) "Di atas langit" sebagaimana yang dapat difahami dari hadith Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:


اِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ

"Sesungguhnya Allah menulis segala ketentuan yang berada di sisi-Nya di atas 'Arasy". (H/R Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas semaksud malah diperkuat oleh firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:


اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas 'Arasy". (Surah Thaha, 20: 5)

Di ayat yang lain Allah berfirman:


ثُمَّ اسْتَوَى اِلَى السَّمَآءِ

"Dan Dia berkehendak menuju langit". (Surah al-Baqarah, 2: 29)

Ayat ini jelas menerangkan bahawa Allah di atas langit yang menunjukkan ketinggian-Nya. Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya yang dinukil dari qaul Ibn Abbas dan ramai lagi para mufassir salaf, bahawa apabila memperkatakan tentang perkara tersebut (di mana Allah) mereka hanya berpegang pada lahir lafaz "Istawa" (استوى) iaitu menyerahkan kepada ilmu Allah bagaimananya ketinggian Allah 'Azza wa-Jalla. (Lihat: القواعد الْمُثْلَى فى صفات الله واسكائه الحسنى Hlm. 58. al-Uthaimin)

ALLAH BERSEMAYAM DI ATAS ‘ARASYNYA

Penta'wilan (penafsiran) mengikut akal atau hawa nafsu terhadap sifat-sifat Allah yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, merupakan sebahagian dari punca kekeliruan dan kesilapan yang boleh membawa kepada kesesatan. Misalnya, menta'wil kalimah istiwa kepada istaula (menguasai) akan membawa kepada mengingkari satu sifat dari sifat-sifat Allah yang tinggi dan luhur.

Para ulama Salaf as-Soleh tiada berkhilaf (berselisih) tentang kufurnya sesiapa yang mengingkari bahawa Allah beristiwa (bersemayam) di atas 'Arasy-Nya. Seseorang yang mengingkari istiwa bermakna dia telah mengingkari isi ayat (al-Quran) di atas dan beberapa hadith yang sahih. Dengan berpandukan dalil-dalil dari al-Quran dan hadith-hadith sahih, para ulama salaf telah berijmak (sepakat) memutuskan telah "sesat/kufur" bagi sesiapa yang menafikan bahawa Allah bersemayam di atas 'Arasy-Nya, atau yang menukar makna bersemayam kepada makna yang lain.

Pada sebuah athar sahih yang warid dari sahabat dan tabi'in iaitu ucapan Ummi Salamah radiahlahu 'anha dalam menjelaskan firman Allah:


اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"Allah bersemayam di atas 'Arasy-Nya", Beliau (Ummi Salamah radiallahu 'anha) berkata:

"Al-Istiwa (bersemayam) itu tidak majhul (dapat difahami), caranya pula tidak diketahui (majhul), namun berikrar (berpegang) dengannya adalah keimanan dan menentangnya (tidak percaya) adalah kufur". (Lihat: علاقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين , hlm. 32. Redza bin Nu'san Mukti. Dikeluarkan juga oleh Al-Laalikai’i dalam شرح اصول السنة)

Semasa Imam Malik rahimahullah ditanya tentang maksud ayat: اَلرَّحْمَنٌ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى beliau menjawab:


اَلاِسْتِوَاءُ مَعْلُوْمٌ وَالْكَيْفُ مَجْهُوْلٌ وَالاِيْمَانُ بِه وَاجِبٌ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ

"Al-Istiwa adalah sesuatu yang telah dimaklumi, (mempertanyakan) bagaimana (bentuk, rupa dan keadaannya) adalah mempertanyakan sesuatu yang majhul (tidak diketahui), mengimani perkara tersebut adalah wajib dan mempersoalkannya adalah merupakan suatu yang bid'ah". (Al-Akidah al-Wasitiyah. Ibn Taimiyah. Syarah oleh Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan. Hlm. 14)

Istiwanya Allah di atas 'Arasy-Nya menunjukkan ketinggian-Nya atas segala makhluk dan Dia sentiasa berada dalam ketinggian. Terdapat banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan hadith-hadith sahih yang menunjukkan tentang ketinggian Allah Subhanahu wa-Ta'ala antaranya:


وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضَ وَلاَ يَؤُوْدُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيْمِ

"Dan Kursi Allah meliputi langit dan bumi dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Dia (Allah) Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ اْلاَعْلَى

"Sucikanlah nama Rabbmu (Tuhanmu) Yang Paling Tinggi" (Surah al-A'la, 87: 1)


اِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا

"Sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar". (Surah an-Nisa’, 4:34)

ذَلِكَ بِاَنَّ اللهَ هُوَ الْحَقُّ وَاَنَّ مَا يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ هُوَ الْبَاطِلُ وَاَنَّ اللهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"(Kuasa Allah) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Rabb) yang Hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil. Dan sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung". (Surah al-Haj, 22: 62)


عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيْرُ الْمُتَعَالِ

"Yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang nyata (nampak/lahir), Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi". (Surah ar-Ra'd, 13: 9)


حَتَّى اِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوْبِهِمْ قَالُوْا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوْا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"Sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata: Apakah yang telah difirmankan oleh Rabbmu, mereka menjawab: (Perkataan) yang hak (benar). Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung". (Surah Saba', 34: 23)


اِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيْمٌ

"Sesungguhnya Dia (Allah Subhahu wa-Ta'ala) Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana". (Surah asy-Syura, 42: 51)

Terdapat banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan tentang ketinggian Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Antaranya ialah:


عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ اَنَّ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا قَضَى اللهُ اْلاَمْرَ فِى السَّمَآءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِاَجْنِهَتِهَا خَضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَاَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ يُنْقِذُهُمْ ذَلَكَ حَتَّى اِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوْبِهِمْ قَالُوْا : مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ؟ قَالُوْا الْحَقُّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu bahawasanya Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Apabila Allah menetapkan perintah di atas langit para malaikat memukul sayap-sayapnya kerana patuh akan firman-Nya seakan-akan terdengar seperti gemerincing rantai (yang ditarik) di atas batu rata, hal itu menakutkan mereka (sehingga mereka jatuh pengsan kerana takut). Ketika dihilangkan rasa takut dari hati mereka, mereka berkata: Apakah yang difirmankan oleh Tuhanmu). Mereka menjawab: Firman al-Haq yang benar dan Dialah yang Maha Tinggi dan Maha Besar". (H/R Bukhari dan Ibnu Majah. Hadith ini disahihkan oleh al-Albani)


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا قَـالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَــلَّمَ : اِتَّقُوْا دَعْوَةَ الْمَظْلُوْمِ فَاِنَّهَا تَصْعَدُ اِلَى اللهِ كَاَنَّهَا شِرَارَةٌ وَفِى لَفْظٍ اِلَى السَّمَآءِ

"Dari Abdullah bin Umar radiallahu 'anhuma berkata: Bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Hati-hatilah kamu dari doa orang yang teranaiya (dizalimi atau diperlakukan secara tidak adil) kerana sesungguhnya doa mereka naik kepada Allah seperti bunga api. Pada lafaz yang lain, naik ke langit". (H/R Al-Hakim, Ad-Darimi dan Az-Zahabi (disahihkan oleh al-Albani))

عَنْ جَـابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِى خُطْبَتِهِ يَوْمَ عَرَفَةَ : اَلاَهَلْ بَلَّغْتُ ؟ فَقَالُوْا : نَعَمْ . فَجَعَلَ يَرْفَعُ اِلَى السَّـمَاءِ وَيَنْكُتُهَا اِلَيْهِمْ وَيَقُوْلُ : اَللَّهُمَّ اشْهَدْ

"Dari Jabir bin Abdullah radiallahu 'anhu bahawa Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam bersabda semasa berkhutbah di hari 'Arafah: Apakah aku sudah sampaikan (risalahku)? Para sahabat menjawab: Ya! Kemudian Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam mengisyaratkan jari telunjuknya ke langit lalu bersabda: Ya Allah saksikanlah". (H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, ad-Darimi dan Ibn Majah (Disahihkan oleh al-Albani))

Di hadith yang lain, Nabi Muhammad salahllahu 'alaihi wa-sallam telah mengisyaratkan bahawa Allah Azza wa-Jalla di langit:


عَنِ بْنِ سَـعِيْدِ الْخُـدْرِيِّ اَنَّ رَسُـوْلَ اللهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ قَالَ : اَلاَ تَاْمَنُوْنَنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ يَاْتِنِيْ خَبَرٌ مِنَ السَّمَآءِ صَبَاحٌ وَمَسَاءٌ

"Dari Sa'ed al-Khudri sesungguhnya Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda: Tidakkah kamu mempercayai aku sedangkan aku yang dipercayai oleh (Zat) Yang berada di atas langit Yang menurunkan khabar (wahyu) pada waktu pagi dan petang?". (H/R Ahmad. 3/4. Bukhari. No. 4351. Muslim, bab az-Zakah. 144. Ahmad, Abu Daud, An-Nasii dan Baihaqi)


قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلرَّاحِمُوْنَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ اِرْحَمُوْامَنْ فِى اْلاَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِى السَّمَآءِ

"Telah bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Orang-orang yang menyayangi akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah). Sayangilah orang yang di bumi, engkau akan disayangi oleh Yang di langit (Allah)". (H/R Abu Daud. 4941, hadith hasan sahih. H/R Al-Baihaqi dalam "Asma wa as-Sifat" hlm. 300)


قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ : وَالَّـذِيْ نَفْسِـىْ بِيَدِهِ مَا مِنْ رَجُـلٍ يَدْعُـوْ اِمْرَاَتَهُ اِلَى فِرَاشِـهِ فَاَبَى عَلَيْهِ اِلاَّ كَانَ الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ سَاخِطًا عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْهَا

"Bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Demi nyawaku yang di tangan-Nya, tidaklah seseorang lelaki (suami) yang mengajak isterinya ke tempat tidurnya maka ia (isterinya) enggan mematuhinya kecuali Yang di langit (Allah) akan mengutuknya (memurkainya) sehinggalah ia diredhai oleh suaminya". (H/R Muslim, bab an-Nikah. 121)


اِنَّهُ سَـاعَةٌ تُفْتَحُ فِيْهَا اَبْوَابَ السَّـمَآءِ فَاُحِبُّ اَنْ يَصْعَدَ لِيْ فِيْهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

"Sesungguhnya pada waktu itu dibuka pintu-pintu langit, maka aku suka amal-amal solehku diangkat naik pada saat tersebut". (H/R Ahmad dan Turmizi. (Hadith sahih))

Nabi Muhammad salallahu wa-sallam pernah bertanya kepada Amran bin Hussin yang diketika itu beliau belum memeluk Islam:


كَمْ اِلَهًا تَـعْبُدُ الْيَوْمَ ؟ قَال : سَـبْعَةٌ . سِـتَّةٌ فِى اْلاَرْضِ وَوَاحِدٌ فِى السَّـمَآءِ . فَقَالَ : فَاِذَا اَصَـابَكَ الضَّرَرَ فَمَنْ تَدْعُوْا ؟ قَالَ : اَلَّذِيْ فِى السَّمَاءِ

"Bertanya Rasulullah (kepada Amran bin Hussin sebelum beliau memeluk Islam): Berapa tuhan yang engkau sembah pada hari ini? Beliau menjawab: Tujuh, enam di bumi dan satu di langit. Baginda bertanya: Diketika engkau ditimpa bahaya maka tuhan yang mana yang engkau seru? Beliau menjawab: Tuhan yang di langit". (H/R Al-Baihaqi dalam "Al-Asma wa-sifat" hlm. 300)

Isteri Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam yang bernama Zainab berbangga kerana dia dinikahkan oleh Allah yang di atas langit yang ketujuh sebagaimana pengakuannya:

زَوَّجَكُنَّ اَهَالِيكُنَّ وَزَوَّجَنِيَ اللهُ مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتِ

"Kamu dikahwinkan oleh ahli-ahli kamu dan aku dikahwinkan oleh Allah dari atas langit yang ke tujuh". (H/R Bukhari No. 7420. al-Baihaqi "Al-Asma wa-Sifat". Hlm. 296)

Semasa kewafatan 'Aisyah radiallahu 'anha, Ibn Abbas radiallahu anhu berkata kepadanya:

كُنْتُ اُحِبُّ نِسَـاءَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ اِلاَّطَيِّبًا وَاَنْزَلَ اللهُ بَرَاءَتكِ مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتِ

"Aku sentiasa mencintai para isteri Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana mencintai Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam dan tidak pernah Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam mencintai sesuatu kecuali kerana kebaikannya dan Allah telah membersihkan engkau dari atas langit yang ketujuh". (H/R Bukhari No. 742)


قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ : هَذِهِ اِمْرَاَةٌ سَمِعَ اللهُ شَكْوَاهَا مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ هَذِهِ خَوْلَةُ بِنْتُ ثَعْلَبَةُ

"Berkata 'Umar bin al-Khattab: Inilah wanita yang didengar oleh Allah pengaduannya dari atas langit yang ketujuh, inilah Khaulah binti Thalabah". (Dikeluarkan oleh al-Baihiqi. Lihat: اجتماع الجيوش الاسلامية hlm. 39. Ibn Qaiyim)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah, Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:


لَمَّا قَضَى اللهُ الْخَلْقَ كَتَبَ كِتَابًا عِنْدَهُ سَـبَقَتْ رَحْمَتِيْ غَضَبِيْ فَهُوْ عِنْدَهُ فَوْقَ السَّمَآءِ

"Setelah Allah mencipta makhluk, ditulis satu kitab di sisi-Nya (yang mana ditulis) rahmat-Ku mendahului kemurkaanKu, maka ia di sisi-Nya di atas 'Arasy". (H/R Bukhari, 7554. Muslim, bab at-Taubah, 14)

Semua dalil-dalil yang telah diutarakan di atas, dengan jelas telah menerangkan dan membuktikan kepada mereka yang mahu beriman bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala bersemayam di atas 'Arasy-Nya. 'Arasy-Nya pula berada di atas langit yang ketujuh. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kufur sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur ulama Salaf as-Soleh.

Imam Abu Hasan Al-Asy'ari juga telah menjelaskan bahawa al-Quran bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit:

"Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas 'Arasy-Nya, mempunyai muka dan al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk dan ia diturunkan (dari langit)". (Lihat: اعتقاد ائمة الحديث Hlm. 50-51, Ismaili)

Mengingkari keterangan dan penetapan tentang nama-nama, sifat, zat dan perbuatan Allah sebagaimana yang terdapat pada dalil-dalil dari al-Quran, hadith-hadith dan athar yang sahih ini adalah kufur hukumnya. Dalam hal ini, al-Auza'ii dianggap Imam ahli Syam di zamannya, beliau telah menegaskan:


كُنَّاوَالتَّابِعُوْنَ مُتَوَافِرُوْنَ نُقُوْلُ : اَنَّ اللهَ عَلَىعَرْشِهِ وَنُؤْمِنُوْا بِمَاوَرَدَتْ بِهِ السُّنَةَ مِنْ صِفَاتِ اللهِ تَعَالَى

"Kami dan para Tabi'in sepakat menetapkan dengan qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta'ala". (Lihat: فتح البارى. Jld. 13. Hlm. 406, Ibn Hajar al-Asqalani)


عَنْ عَبْدِاللهِ بْنِ وَهَبٍ قَالَ : كُنْتُ عِنْدَ مَالِكٍ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَقَالَ : يَا اَبَا عَبْدَ الرَّحْمَن "اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى" كَيْفَ اسْتَـوَى ؟ فَاَطْرَقَ مَالِكُ فَاَخَذَتْهُ الرَّحْضَاءَ ثُمَّ رَفَعَ رَاْسَهُ فَقَالَ : اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىكَمَاوَصَفَ بِهِ نَفْسَهُ وَلاَ يُقَالُ كَيْفَ وَكَيْفَ عَنْهُ مَرْفُوْعٌ وَمَا اَرَاكَ اِلاَّ صَاحِبُ بِدْعَة فَاَخْرِجُوْهُ

"Dari Abdullah bin Wahab berkata: Aku pernah bersama Malik maka masuk seorang lelaki lalu bertanya: Wahai Aba Abdul Rahman! "Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas 'Arasy", bagaimana Dia bersemayam? Beliau terus mengingkari dan dengan keadaannya yang marah sambil mengangkat kepalanya berkata: Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas 'Arasy-Nya sebagaimana yang telah disifatkan oleh Allah pada dirinya sendiri dan janganlah ditanya bagaimana dan kenapa kerana telah marfu' tentangnya, dan tidaklah aku ketahui tentang dirimu kecuali seorang pelaku bid'ah, maka keluarkanlah dia". (Lihat: فتح البارى. Jld. 13. Hlm. 407, Ibn Hajar al-Asqalani)

Bertanyakan "Bagaimana Allah bersemayam di atas 'Arasy" dianggap oleh Imam Malik dan Rabi'ah sebagai pertanyaan yang bid'ah, kerana bertanya tentang apa yang tidak diketahui oleh manusia, dan sesuatu yang tidak diketahui maka tidak mungkin mereka akan memperolehi jawapannya. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi)

Sesungguhnya memperkatakan sifat-sifat Allah adalah sebahagian dari memperkatakan tentang Zat-Nya, sebagaimana akal tidak berdaya mengetahui tentang zat-Nya maka begitu jugalah ia tidak mampu mengetahui tentang bagaimananya sifat Allah. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi) Beginilah manhaj yang diikuti oleh para Salaf al-Soleh rahimahumullah (tentang memahami sifat dan zat Allah 'Azza wa-Jalla), mereka meletakkan kesempurnaan akal mengikut tempat dan kadar kemampuannya. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi)


قَالَ التُّرْمِزِيُّ : وَهُوَ عَلَى الْعَرْشِ كَمَا وَصَفَ بِهِ نَفْسهُ فِى كِتَابِهِ كَذَا قَالَ غَيْرُ وَاحَدٍ مِنْ اَهْلِ الْعِلْمِ

"Berkata at-Tirmizi: Ia bersemayam di atas 'Arasy sebagaimana yang disifatkan-Nya sendiri di dalam kitab-Nya. Beginilah perkataan ahli ilmu yang bukan seorang sahaja yang mengatakannya seperti itu". (Lihat: عون المعبود. Jld. 13. Hlm. 42)

ALLAH DI LANGIT

Dengan penjelasan terperinci ini nyatalah bahawa akidah seluruh golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj atau pemahaman para Salaf as-Soleh, mereka telah sepakat meyakini sebagai akidah bahawa Allah berada di langit yang ketujuh dan bersemayam di atas 'Arasy-Nya. Begitulah juga yang diterangkan oleh Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah semasa beliau ditanya tentang di mana Allah:


وَقِيْلَ لِعَبْدِاللهِ بْنِ الْمُبَارَكِ: كَيْفَ نَعْرِفُ رَبَّنَا ؟ قَالَ: بِاَنَّهُ فَوْقَ السَّمَآءِ السَّابِعَةِ عَلَى الْعَرْشِ

"Dan ketika ditanyakan kepada Abdullah bin al-Mubarak: Bagaimana kita mengetahui Tuhan kita? Dengan mengetahui-Nya bahawa sesungguhnya Dia di langit yang ke tujuh di atas 'Arasy-Nya". (Lihat: السنة hlm. 5. Abdullah bin Al-Imam Ahmad)

Golongan sesat Jahmiyah pula tidak dianggap sebagai golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah dan tergelincir dari manhaj Salaf as-Soleh kerana mereka tidak mempercayai bahawa Allah di langit:


وَقِيْلَ لِيَزِيْدِ بْنِ هَـارُوْن : مَنِ الْجَـهْمِيَّةُ ؟ فَـقَالَ : مَنْ زَعَمَ اَنَّ الرَّحْمَنَ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى عَلَى خِلاَفِ مَا يَقِرُّ فِى قُلُوْبِ الْعَامَةِ فَهُوْ جَهْمِيْ

"Pernah ditanyakan kepada Yazid bin Harun: Siapa itu Jahmiyah? Maka beliau berkata: Sesiapa yang mempercayai bahawa Ar-Rahman (Allah) bersemayam di 'Arasy-Nya (tetapi kepercayaannya) tidak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Islam, maka itulah Jahmiyah". (Lihat: الابانة الكبرى (195/1) Ibn Battah)

Golongan Jahmiyah mempercayai bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala bersemayam di Arasy tetapi mereka tidak percaya bahawa Allah di langit, maka sesiapa yang mempunyai keyakinan seperti ini dia adalah Jahmiyah. Berkata Hamad bin Zaid:

"Jahmiyah ialah mereka yang menyatakan bahawa di langit tidak ada sesuatu (Allah bukan di langit)". (Lihat: ابانة الكبرى Ibn Battah (917/1). Lihat: الرد على الجهمية Ibn Abi Hatim. Lihat: السنة hlm. 12. Abdullah bin Ahmad)

Adapun antara ayat yang sering dipertikaikan dan disalah tafsir oleh golongan ahli bid'ah dan Jahmiyah ialah ayat yang menjelaskan:


قَالَ لاَ تَخَافَا ، اِنَّنِيْ مَعَكُمَآ اَسْمَعُ وَاَرَى

"Allah berfirman: Janganlah kamu berdua merasa takut, sesungguhnya Aku berserta kamu berdua, Aku Mendengar dan Melihat". (Surah Thaha, 20: 46)

Maksud dari ayat (اِنَّنِيْ مَعَكُمَا) "Sesungguhnya Aku berserta kamu berdua" ialah ilmu-Nya (sebagaimana yang telah dijelaskan). Iaitu ilmu Allah berserta dan meliputi segala-galanya. Allah Maha Mengetahui kerana ilmu pengetahuan Allah berada di mana-mana. Allah berserta kita dengan ilmu-Nya kerana Dia mendengar dan melihat kita. (Lihat: العقيدة الاسلامية من الكتاب والسنة الصحيحة hlm. 18) Namun, Allah bersemayam di atas Arasy-Nya di langit. Dan ayat di atas dapat dijelaskan dengan nas-nas di bawah ini:


اِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ (اَيْ مَعَكُمْ بِعِلْمِهِ)

"Sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar Yang Hampir yang sentiasa berserta kamu (iaitu Ilmu-Nya)". (H/R Muslim)

وَعِنْدَهُ مَفَاتِيْحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَااِلاَّ هُوَوَيَعْلَمُ مَا فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْـقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ اِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَ حَـبَّةٍ فِى ظُلُمَاتِ اْلاَرْضِ وَلاَ رَطْبٍ وَلاَ يَابِسٍ اِلاَّ فِى كِتَابٍ مُّبِيْنَ

"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daunpun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah dan yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz)". (Surah al-An'am, 6: 59)

Antara hadith yang menjadi dalil yang kuat yang menunjukkan bahawa Allah di atas 'Arasy-Nya, 'Arasy-Nya di langit dan ilmu-Nya di mana-mana ialah sabad Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:

قَالَ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّـلَمِى: وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ اُحُدٍوَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ . فَاِذَا بِالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بَشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ . اَسَفَ كَمَا يَاْسـفُوْنَ . لَكِنِّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَاَتَيْتُ رَسُـوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ . قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَاَعْتِقُهَا؟ قَالَ: اِئْتِنِيْ بِهَا. فَقَالَ لَهَا: اَيْنَ اللهُ ؟ قَالَتْ فِى السَّـمَآءِ . قَالَ: مَنْ اَنَا؟ قَالَتْ اَنْتَ رَسُـوْلُ اللهِ. قَالَ : اَعْتِقْهَا فَاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Berkata Muawiyah bin Hakam As-Sulami: Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya. Sedang aku termasuk seorang anak Adam kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka. Kerananya wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku menghadap Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya? Jawab Rasulullah: Bawalah wanita itu ke sini. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. Di mana Allah? Dijawabnya: Di langit. Rasulullah bertanya lagi: Siapakah aku? Dijawabnya: Engkau Rasulullah. Maka baginda bersabda: Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah". (H/R Muslim dan Abi Daud)

Menurut syara’ dan telah disepakati oleh ulama Salaf as-Soleh, bahawa perbuatan, fahaman (akidah) atau keyakinan mereka yang menyerupakan, mensekufukan, memisalkan, mensetarakan atau mengumpamakan Allah Ta'ala dengan makhluk-Nya adalah batil (kufur) dan boleh membawa kepada perbuatan syirik. Ia nyata bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran, terutamanya ayat yang terdapat di surah Asy-Syura "Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya", 42:11 dan ayat di surah Al-Ikhlas "Dan tidak ada seorangpun yang setara/sekufu dengan Dia (Allah)", (Surah al-Ikhlas, 112: 4)

Cara para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj Salaf as-Soleh menetapkan zat, nama-nama dan sifat-sifat Allah terbina di atas dua perkara:

1- Mereka mensucikan Allah Subhanahu wa-Ta'ala dari diserupakan dengan segala makhluk-Nya yang berdasarkan firman-Nya:


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ

"Tiada suatu yang semisal denganNya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat". (Surah asy-Syura, 42: 11)

2- Menjauhkan penyerupaan dengan cara ingin tahu, bertanya atau mempersoalkan "Bagaimana" zat dan sifat-sifat Allah. Kerana hanya Allah sahaja yang benar-benar mengetahui akan sifat dan zat-Nya. Maka larangan ini berdasarkan kepada firman-Nya:


وَلاَ يُحِيْطُوْنَ بِهِ عِلْمًا

"Sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya". (Surah Thaha, 20: 110)

Manusia tidak akan mengetahui yang ghaib jika tidak diberi tahu atau dikhabarkan oleh Allah melalui wahyu-Nya, atau diceritakan oleh Rasul-Nya melalui sabdanya. Maka bagaimanakah mereka mampu mengetahui akan hakikat sifat-sifat dan zat Allah yang semuanya itu adalah persoalan yang ghaib. Sebenarnya hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya yang berkaitan dengan segala keghaiban sebagaimana firman-Nya:


عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ اَحَدًا اِلاَّ مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُوْلٍ

"Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui yang ghaib. Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya". (Surah al-Jin, 72: 26-27)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Rasulullah juga tidak mengetahui apa yang berada dan terjadi di alam ghaib, termasuklah yang terdapat di Lauh al-Mahfuz serta apa yang ditulis dengan qalam, kecuali setelah dikhabarkan oleh Allah kepada baginda sebagaimana diungkapkan dalam syair al-Bushairi:


فَاِنَّ مِنْ جُوْدِكَ الدُّنْيَا وَضَرَّتُهَا
وَمِنْ عُلُوْمِكَ عِلْمُ اللُّوْحِ وَالْقَلَمِ


"Sesungguhnya kedermawanan-Mu terhadap dunia dan kemudaratannya # Dan bahagian (termasuk) dari ilmu-Mu adalah ilmu Lauh al-Mahfuz dan ilmu al-Qalam. (Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zainu)

Ketidak-tahuan atau kejahilan seseorang tentang keadaan alam ghaib telah dikhabarkan oleh Allah dalam beberapa ayat al-Quran:


وَعِنْدَهُ مَفَاتِيْحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا اِلاَّ هُوَ

"Dan pada sisi Allah sahaja kunci-kunci semua yang ghaib. Tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri". (Surah al-An'am, 6: 59)


قُلْ لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ الْغَيْبَ اِلاَّ اللهُ

"Katakanlah! Tidak ada seseorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah". (Surah an-Naml, 27: 65)

Semua penjelasan di atas yang diiringi dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadith-hadith yang sahih adalah kata pemutus. Ianya adalah wahyu yang mengkhabarkan bahawa Allah bersemayan di 'Arasy-Nya yang berada di langit, maka semua dalil-dalil tersebut adalah hujjah untuk menolak alasan mereka yang mengharamkan seseorang dari bertanya "Di mana Allah berada?" atau (اَيْنِيَّة الله) "Di mananya Allah".

Bertanya kepada seseorang "Di mana Allah" untuk memastikan akidahnya adalah sunnah, kerana Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam sendiri pernah bertanya kepada seorang hamba perempuan dengan pertanyaan: "Di mana Allah?". Berdasarkan hadith ini, maka siapakah yang lebih berhak diikuti dan wajib dijadikan contoh jika bukan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, baginda tidak pernah mengikut hawa nafsunya apabila memperkatakan atau menjelaskan sesuatu tentang agama Allah. Oleh itu, seseorang yang bertanya "Di mana Allah?" tidak boleh dihukum sesat atau menyalahi sunnah.

Pendapat, pandangan dan kepercayaan ahli bid'ah terutama yang digelar Ahli al-Ahwa (ahli hawa nafsu) wajib ditolak dan ditinggalkan jika ia enggan menjadikan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai ikutan, contoh dan Rasul yang wajib ditaati dalam semua perkara yang berhubung dangan agama, terutama tentang penentuan di mana Allah sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam di mana sebenarnya Allah berada.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan yang tegas kepada mereka-mereka yang mengaku beriman tetapi masih enggan mengikuti contoh dan mentaati baginda dalam segala persoalan dan urusan agama, sama ada yang berkaitan dengan persoalan akidah, ibadah atau mu'amalah. Baginda bersabda:


كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ اِلاَّ مَنْ اَبَى قَالُوْا وَمَنْ يَاْبَ يَا رَسُـوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : مَنْ اَطَاعَنِى دَخَلَ الْجَنَّةِ وَمَنْ عَصَانِيْ قَقَدْ اَبَى

"Setiap ummatku semuanya akan masuk syurga kecuali sesiapa yang menolak. Mereka bertanya, siapakah yang menolak wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Sesiapa yang mentaati aku dia masuk syurga dan sesiapa bermaksiat (menentangku) maka dia telah menolak". (H/R Bukhari no. 782)

Firman Allah:


وَمَنْ يُشَـاقِقِ الرَّسُـوْلَ مِنْ بَـعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيْرًا

"Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin. Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali". (Surah an-Nisa', 4: 115)

Kesimpulannya: Bahawa segala apa yang telah dijelaskan (di atas), adalah berlandaskan al-Quran, as-Sunnah yang sahih dan mengikut panduan para Salaf as-Soleh radiallahu 'anhum, mereka sekalian beriman dengan segala apa yang telah dikhabarkan oleh Allah tentang diri-Nya di dalam kitab-Nya, dan beriman dengan segala apa yang telah dijelaskan oleh RasulNya tentangNya. Mereka beriman dengan keimanan yang selamat, iaitu tidak dilakukan pada sifat, zat dan nama-nama-Nya tahrif, ta'til, takyyif dan tamsil. (Lihat: شرح العقيدة الوسطية hlm. 21, Ibn Taimiyah)

Dan Imam Ahmad rahimahumullah pula berkata:

"Tidak diharuskan mensifatkan Allah kecuali dengan apa yang telah disifatkan-Nya sendiri oleh diri-Nya atau dengan apa yang telah disifatkan oleh Rasul-Nya dan tidak pula melampaui batasan al-Quran dan al-Hadith". (Lihat: شرح العقيدة الوسطية hlm. 21. Ibn Taimiyah)