Friday, July 2, 2010

Bolehkah Mengkafirkan Ahlut-Takwil?


Menghukum seseorang sebagai kafir atau fasik bukanlah hak kita. Namun ianya adalah hak Allah dan RasulNya. Hukum ini termasuk hukum-hukum syar'i yang mesti dikembalikan kepada kitabullah dan sunnah RasulNya sehingga wajib untuk kita benar-benar memastikannya sebelum menjatuhkan sesuatu hukum. Tidaklah seseorang itu dikafirkan kecuali setelah dibuktikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Asal hukum seseorang yang beragama Islam secara zahir dia adalah Islam sehingga benar-benar telah dipastikan keislamannya itu telah hilang dari dirinya dengan ukuran dalil-dalil syar'i.

Tidak boleh terlalu bermudah-mudahan menghukumi seseorang itu sebagai kafir atau fasik kerana terdapat dua bahaya besar:

(1) Mengada-adakan kedustaan terhadap Allah dalam pemberian hukum mahupun tentang orang yang dihukumi tersebut.

(2) Orang yang bermudah-mudahan boleh terjatuh ke dalam tuduhan itu sendiri jika ternyata orang yang dihukumi itu tidak kafir atau fasik. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إذا كفر الرجل أخاه فقد باء بها أحدهما

"Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya (seislam), maka sesungguhnya salah satu dari keduanya benar-benar akan kembali dengan kekafiran itu." (HR. Muslim, Kitabul Iman)

Dalam riwayat lain:

إن كان كما وإلا رجعت عليه

"Apabila dia benar-benar kafir maka dia menjadi kafir, sekiranya tidak maka ia akan kembali kepadanya (yang menuduh)."

Dalam hadis lain dari Abu Dzar, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

ومن دعا رجلا بالكفر أو قال عدو الله وليس كذلك إلا حار عليه

"Barangsiapa memanggil seseorang dengan sebutan "kafir" atau ia memanggilnya "musuh Allah" sedangkan orang itu tidak demikian, maka tuduhan itu kembali kepadanya." (HR. Muslim, Kitabul Iman)

Oleh kerana itu, sebelum menjatuhkan hukum kafir ke atas seseorang, wajiblah terlebih dahulu memperhatikan dua hal ini:

Pertama: Al-Quran dan As-Sunnah menunjukkan bahawa sebuah ucapan atau sebuah perbuatan menyebabkan kekufuran atau kefasikan pelaku tersebut.

Kedua: Hukum tersebut mesti sesuai dengan individu tertentu yang mengucapkan atau melakukan perbuatan kufur atau fasik dari segi kesempurnaan syarat-syarat pengkafiran atau memfasikkan orang tersebut serta tidak terdapat penghalang-penghalangnya. Di antara syarat-syarat terpenting adalah bahawa orang tersebut mengetahui kesalahannya yang akan menyebabkan dia menjadi kafir atau fasik. Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

"Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan-jalan selain orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali." (An-Nisa': 115)

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَوْمًا بَعْدَ إِذْ هَدَاهُمْ حَتَّى يُبَيِّنَ لَهُمْ مَا يَتَّقُونَ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ . إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka hingga Dia jelaskan kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah." (At-Taubah: 115-116)

Di antara perkara yang menghalang seseorang itu menjadi kafir atau fasik adalah seseorang itu melakukan perbuatan yang menyebabkan kekufuran atau kefasikan namun bukan dengan kehendaknya. Hal ini mempunyai beberapa bentuk:

(1) Pelaku kekufuran atau kefasikan tersebut dipaksa, sehingga dia melakukannya kerana keterpaksaan, bukan dalam keadaan lapang. Bila begitu, maka dia tidak boleh dikafirkan, berdasarkan firman Allah:

(Maksudnya): "Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (maka dia akan mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman dia tidak berdosa). Akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafirannya, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar." (An-Nahl: 106)

(2) Fikiran orang tersebut sedang terbelenggu, sehingga dia tidak tahu apa yang diucapkannya, mungkin kerana sangat gembira, sangat sedih, sangat takut atau yang seumpamanya. Dalilnya adalah dari Anas bin Malik, dia berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Sesungguhnya Allah lebih gembira terhadap taubat hambaNya katika bertaubat kepadaNya daripada seseorang antara kamu yang berada di atas tunggangannya di padang pasir luas, kemudian tunggangannya itu terlepas darinya, padahal di atas tunggangannya itu terdapat makanan dan minumannya. Maka dia pun berputus asa terhadap kenderaannya itu. Dia memdatangi sebuah pohon dan berbaring di bawahnya. Dia telah berputus asa untuk mencari tunggangannya itu. Pada waktu itu, tiba-tiba dia melihat tunggangannya berdiri disampingnya. Lalu dia mengambil tali kekangnya kemudian berkata kerana terlalu gembira: 'Ya Allah Engkau adalah hambaku dan aku TuhanMu!' Dia telah berbuat kesalahan kerana terlalu gembira." (HR. Muslim, Kitabut Taubat, no: 2747)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: "Tentang masalah pengkafiran, yang benar adalah barangsiapa yang berijtihad di antara umat Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan menginginkan kebenaran namun keliru dalam ijtihadnya, maka orang ini diampuni. Adapun orang yang sudah jelas baginya kebenaran yang dibawa oleh Rasul, namun menentangnya setelah jelas petunjuk baginya, dan dia mengikuti selain jalan orang-orang yang beriman, maka dia kafir. Barangsiapa yang menuruti hawa nafsu dan tidak bersungguh-sungguh mencari kebenaran serta berbicara tanpa ilmu, maka dia adalah seseorang yang berbuat maksiat dan berdosa. Terkadang dia boleh menjadi fasik dan terkadang pula dia mempunyai kebaikan-kebaikan yang lebih banyak dari keburukannya." (Majmu' Fatawa, Ibnu Qasim, 12/180)

Beliau berkata lagi: "Ucapan ini, meskipun di sisi lain -dan orang-orang yang bermajlis dengan saya mengetahui sikap saya- bahawa saya termasuk orang yang peling melarang menisbahkan seseorang kepada kekafiran, kefasikan atau maksiat-maksiat, kecuali jika diketahui telah tertegak hujah kerasulan -yang barangsiapa menyelisihinya boleh menjadi kafir atau fasik atau bermaksiat- terhadap orang itu. Saya menyatakan bahawa Allah telah mengampuni kekeliruan yang tidak disengajakan untuk umat ini. Namun tidak pernah ada salah seorang pun dari mereka yang mempersaksikan kekufuran dan kefasikan atau kemaksiatannya." (Majmu' Fatawa, 3/229)

Beliau menjelaskan lagi: "Pengkafiran merupakan suatu bentuk ancaman kerana meskipun suatu ucapan merupakan pendustaan terhadaahu 'alaihi wasallam, namun terkadang orang yang mengucapkan itu baru sahaja memeluk agama Islam, atau dia membesar di daerah yang jauh (dari ilmu). Orang yang seperti ini tidak boleh dikafirkan kerana penentangannya, sehinggalah tertegak hujah ke atasnya. Terkadang pula seseorang itu tidak pernah mendengar nas-nas hujah tersebut, atau dia mendengar namun menurutnya hujah tersebut tidak kuat. Atau pun menurutnya ada penghalang-penghalang lain yang membantah hujah-hujah itu, yang mengharuskan nas itu ditakwil, meskipun sebenarnya dia salah. Saya selalu ingat hadis dalam Sahihain (riwayat Bukhari dan Muslim) tentang seseorang yang mengatakan:

"Apabila aku mati maka bakarlah aku. Lalu hancurkan (tulang-tulangku) sehingga halus, kemudian taburkan aku dilautan. Kerana demi Allah seandainya nanti Allah dapat menguasaiku nescaya Dia akan mengazabku dengan siksaan yang tidak pernah Dia timpakan kepada seorang pun di alam ini. Mereka pun melakukan permintaannya. Kemudian Allah berfirman: "Apa yang menjadikan engkau melakukan ini semua?" Dia menjawab: "Aku takut kepada-Mu." Allah pun mengampuninya." (HR. Bukhari dalam Kitabut Tauhid, no: 7506. Dan Muslim dalam Kitabut Taubah, no: 2756)

Ini merupakan keraguan seseorang terhadap kemampuan Allah Ta'ala dan dengan khabarNya bahawa Dia akan membangkitkannya apabila abunya telah ditaburkan. Bahkan oarang ini berkeyakinan baha dia tidak akan dibangkitkan. SIkap ini adalah sebuah kekufuran menurut kesepakatan kaum muslimin. Namun orang tersebut jahil, tidak mengerti bahawa hal itu adalah kekufuran. Dia adalah orang yang beriman, yang sangat takut Allah yang akan menghukumnya sehingga Allah mengampuninya kerana hal tersebut. Maka ahli ijtihad yang melakukan takwil namun bersemangat dalam mengikuti Rasul, lebih layak mendapatkan pengampunan daripada orang seperti tadi."

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata: "Hukum asalnya sesuatu ucapan yang merupakan kekafiran berdasarkan Al-Kitab, As-Sunnah dan ijma' tetap dikatakan sebagai sebuah kekafiran -sebagai suatu ucapan yang mutlak- sebagaimana yang ditunjukkan oleh dalil-dalil syar'i yang ada. Ini kerana keimanan termasuk dalam hukum-hukum yang diambil dari Allah dan Rasul-Nya sallallahu 'alaihi wasallam, bukan perkara yang dihukumi oleh manusia sendiri dengan persangkaan-persangkaan dan hawa nafsu mereka. Dan mesti setiap orang yang mengucapkan kekufuran itu dihukumi kafir, sehingga telah pasti adanya syarat-syarat pengkafiran dan hilangnya penghalang pengkafiran dari orang tersebut. Contohnya adalah orang yang mengatakan bahawa arak atau riba adalah halal, kerana dia baru masuk Islam atau kerana dia membesar di pedalaman yang jauh. Atau orang yang mendengar sebuah ucapan lalu dia ingkari kerana tidak meyakini bahawa itu berasal dari Al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sebagaimana dahulu sebahagian salaf mengingkari beberapa perkara sehingga telah pasti berita itu bagi mereka Nabi yang mengucapkannya..." (Majmu' Fatawa 35/165)

Demikianlah penerangan syeikhul Islam yang sering dituduh oleh golongan penentangnya sebagai kafir dan juga mengkafirkan umat Islam. Namun ternyata beliau sangatlah berhati-hati dalam pengkafiran, bukan seperti golongan Ahbash yang terlalu bermudah-mudahan dalam mengkafirkan salafi dengan melebelkan mereka wahabi al-mujassimah dan sebagainya yang merupakan gelaran yang langsung tidak terkena sedikit pun kepada mereka. Bahkan sekali mereka menuding jari, maka sepuluh lagi kembali kepada mereka.

Perlu diingat, kita tidak boleh sesuka hati mengkafirkan sesiapa pun selagi belum ditegakkan hujah kerasulan ke atasnya termasuklah golongan yang suka mentakwil mahupun yang mentafwidh (yakni golongan yang menyerah sebulat-bulatnya makna sifat-sifat Allah dan mereka menjahilkan akan maknanya, lebih teruk pendapat ini pula disandarkan kepada golongan salaf, padahal salaf jauh dari pendapat tersebut - Wallahua'lam). Mereka yang telah berbuat kesilapan dan memiliki penghalang untuk dikafirkan perlu dijelaskan dengan penjelasan yang sesungguhnya.

Firman Allah Ta'ala:

(Maksudnya): "Supaya tidak ada alasan lagi bagi manusia untuk membantah Allah setelah datangnya Rasul-rasul itu." (An-Nisa: 165)

Namun jika kebenaran telah tertegak ke atasnya, tetapi dia masih lagi mengikuti keyakinannya sendiri atau kerana mengikuti seseorang yang dia agungkan, maka orang tersebut berhak mendapat konsekuensi atas perselisihannya itu berupa kekafiran atau kefasikan.

Hendaklah seorang mukmin berhati-hati dari jalan yang ditempuh sebahagian orang yang membangunkan keyakinan atau amalan mereka di atas mazhab-mazhab tertentu. Apabila mereka mendapati nas-nas Al-Kitab dan As-Sunnah berbeza dari mazhab mereka, maka dengan mudahnya mereka memalingkan atau memesongkan nas-nas itu agar sesuai menurut mazhab mereka, sehingga mereka menjadikan Al-Kitab dan As-Sunnah sebagai yang mengikuti bukan yang diikuti. Allah berfirman:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Maksudnya: "Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu."

Seorang yang beriman mestilah berasa bangga dengan keyakinan dan pengamalan yang di dirikan di atas Al-Kitab dan As-Sunnah sehingga setiap masalahnya dipimpin dengan keduanya. Kedua-duanya adalah cahaya yang menunjukkan jalan yang benar lagi lurus sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam KitabNya:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah dengannya agar kamu bertakwa." (Al-An'am: 153)

Wallahua'lam

No comments: