Saturday, August 7, 2010

Aku Seorang Al-Asya'irah


Oleh: Ustaz Muhammad Asri bin Sobri

Kisah 1:

Imam Ibn Furak r.h, seorang Ulama yang disegani dan antara Ulama Besar Aliran al-Asyairah masuk menemui Sultan Mahmud Sabuktikin Abul Qasim r.h, Sultan Pemerintah negara-negara Islam di bawah Khilafah Abbasiah di zaman Khalifah al-Qadir billah.

Maka bermulalah Ibn Furak ini berbicara kepada Sultan berkenaan Sifat-sifat Allah Taala dengan katanya:

"Tidak boleh kita mensifatkan Allah dengan Sifat di Atas kerana ini akan melazimkan juga bagiNya sifat di bawah kerana semua yang ada di atas harus baginya untuk berada di bawah".

Maka Sultan Mahmud menjawab kepada Ulama Asyairah ini:

"Bukanlah aku yang menyifatkan-Nya demikian (berada di atas) sehingga melazimkan untuk aku berkata demikian (boleh berada di bawah) bahkan Dia (Allah) sendiri yang menyifatkan DiriNya sedemikian (di atas)".

Apabila mendengar jawapan Sultan itu, Ibn Furak sangat terkejut besar, dia pulang dalam keadaan yang sangat kecewa dan tidak lama selepas itu dia pun meninggal dunia dikatakan segala uratnya putus (kerana amat terkejut).

demikianlah nasib seorang Asyairah yang cuba melawan al-Quran dan Hadis dengan akal..... Nauzubillah min zalik.

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala', 17/487]

Kisah 2:

Imam al-Syeikh al-Zahid al-Muhaddis Abu Jaafar al-Hamzani r.h pada suatu hari menghadiri majlis ilmu (ceramah agama) yang disampaikan oleh Imam al-Haramain Abul Ma'ali al-Juwaini al-Asy'ari r.h, seorang Ulama Besar Al-Asyairah dan pengembang mazhabnya.

Imam al-Haramain selaku 'alim dan terkenal dalam bidang Usuluddin menyampaikan ceramah berkaitan sifat Allah berkata:

"Allah itu telah ada ketika mana 'Arasy masih tiada, dan Dia sekarang berada di mana Dia berada sejak dahulu"

Yakni dimaksudkan di sini Allah itu tidak berada di atas 'Arasy di langit ketujuh dengan zatNya dan menafikan sifat al-'Uluww al-Zati (Ketinggian Zat) bagi Allah.

Maka berkata Abu Jaafar al-Hamzani r.h:

"Beritahu kepada kami wahai Ustaz berkenaan satu kemestian yang tidak dapat tidak dalam diri kami ini , tidak ada seorang yang 'arif (berakal waras) apabila dia berdoa: Ya Allah! melainkan dia mesti di dalam hatinya mendapati hendak menuju ke arah atas (al-'Uluww), dia tidak berpaling ke kiri dan kanan, bagaimana kami hendak menolak perasaan ini? Adakah engkau mempunyai ubat untuk menghilangkannya?"

Seraya mendengar ucapan Abu Jaafar itu, Imam al-Haramain berkata:

"Wahai kekasihku, tiada di sana melainkan kehairanan!".

Lantas Imam al-Haramain turun dari tempat ceramahnya sambil memukul kepalanya dan kekal dalam keadaan terkejut dan berkata:

"al-Hamdani telah membuatku kehairanan, al-Hamdani telah membuatku kehairanan".

Kejadian ini membuatkan Abul Ma'ali Imam al-Haramain r.h ketika hendak matinya berkata:

"Saksikanlah diriku ini bahawa aku telah menarik kembali semua pendapatku yang menyelisihi Sunnah, dan inilah aku sedang mati di atas akidah wanita-wanita tua Naisabur".

dan diketahui masyarakat awam ketika itu akidah mereka akidah salafiah bukan al-Asyairah.

segala puji bagi Allah yang hanya Dia sahaja berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, semoga kita termasuk dalam golongan al-muhtadin..ameen.

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala', 18/474-475, Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, jil 4 m.s 44]