Friday, July 30, 2010

Kisah Seorang Syaikhul Islam II


Oleh: Ustaz Muhammad Asrie bin Sobri

Pada suatu hari yang indah, datanglah Seri Paduka Baginda Sultan Alib Arsalan al-Seljuqi, Sultan Pemerintah bagi Khilafah Bani Abbasiah dan jajahan Takluknya [adalah Khalifah Abbasiah ketika itu tidak memerintah dgn sendirinya tetapi diserahkan kuasa baginda kepada Sultan Bani Seljuq], ke Harah.

Maka berduyun-duyunlah para Ulama Asyairah itu keluar hendak pergi menghadap ke bawah duli baginda Tuanku, namun di tengah jalan itu mereka bertandang sebentar ke rumah Syeikhul Islam al-Ansari kata mereka:

"Baginda Sultan telah datang ke sini maka kami ini hendak pergi bertemu baginda dan meyampaikan salam kepadanya namun suka cita kami berjumpa dahulu dengan Tuan".

Namun, mereka itu para Asyairah sudah ada rancangan tersendiri, maka dibawa bersama mereka itu sebuah patung kecil daripada tembaga lalu diseludup letak di bawah Sejadah Syeikhul Islam di Mihrab tempat ibadatnya dengan tujuan membuat fitnah jua.

Lalu mereka setelah itu pergi berjumpa Sultan dan Syeikhul Islam pergi beribadat di Mihrabnya dan tiada dia sedar adanya patung itu di bawah sejadah.

Maka pergilah Ulama Asyairah ini mengadu kepada Sultan, adalah Al-Ansari itu Mujassimah dan jika tuanku Sultan pergi menyiasat akan jumpa di Mihrabnya patung yang kononnya itulah rupanya Tuhan.

Maka murka amatlah Sultan akan mendengar aduan ini lalu diarahkan al-Ansari Syeikhul Islam menghadap dan pengawal pula pergi menggeledah rumah beliau dan mereka menjumpai patung yang tersebut di mihrab Syeikhul Islam.

Bertanya Sultan kepada Syeikhul Islam: Apakah ini?

Jawab Syeikhul Islam: Patung berhala yang dibuat daripada tembaga seolah-olah mainan

Kata Sultan: Bukan ini maksud pertanyaanku

Kata Syeikhul Islam: Maka apakah maksud soalan tuanku Sultan?

Kata Sultan: Mereka ini semua mengatakan kamu menyembah ini dan berkata inilah rupanya Allah.

Seraya menjeritlah Syeikhul Islam dengan tempikan yang kuat: "Maha Suci Engkau Ya Allah! Ini adalah pembohongan yang sangat dahsyat!!!"

Seraya mendengar tempikan itu kecutlah perut Sultan yang gagah itu ketakutan dan tahulah baginda Ulama Asyairah ini sudah buat dusta.

Lalu diarahkan Sultan supaya Syeikhul Islam dibenarkan pulang dalam keadaan yang penuh kemuliaan dan kehormatan.

Seraya itu Sultan berkata kepada Ulama Asyairah ini: "Berkata benarlah kepada aku".

Baginda mengancam dan mengugut mereka untuk memberitahu perkara yang sebenarnya berlaku.

Lalu kata mereka: "Adalah kami ini dibalakan dengan dia (yakni: Syeikhul Islam) dan dia itu berpengaruh dalam kalangan orang awam dan kami hendak menghilangkan pengaruhnya".

Maka murka amatlah Sultan dan kecewa amat dengan Ulama-ulama kerajaannya itu yang berhati gelap berjiwa najis maka dihukum lah mereka itu dan dihinakan.

Demikianlah Ulama Asyairah itu mempunyai hasad yang kuat terhadap Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah dan lihat pula wahai sekalian saudaraku, walaupun beliau hanya berseorangn Salafi di Harah itu, tiadalah beliau, Syeikhul Islam al-Ansari itu gerun atau gentar kerana Salafi itu adalah mereka yang hatinya Fana dengan Allah, lebur jiwanya di dalam ketaatan pada Allah tiada takut tiada gentar kecuali dengan Allah jua. semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan salafi sejati..ameen.

Sumber: Siyar A'lam Nubala', 18/512, Tazkirah al-Huffaz 3/1188-1189

No comments: