Penulis artikel: Mohd Hairi Nonchi
Pendidikan Dengan Sains Sosial
Universiti Malaysia Sabah
SMS sahaja: 019-5308036/014-5679652
Pendidikan Dengan Sains Sosial
Universiti Malaysia Sabah
SMS sahaja: 019-5308036/014-5679652
Apakah al-Jahmiyyah?
Demikianlah persoalan pertama yang ingin saya lontarkan kepada sidang pembaca sekalian terhadap salah satu aliran yang telah "digazetkan" sebagai aliran yang sesat lagi menyesatkan oleh para tokoh al-Sunnah wa al-Jama'ah. Dilihat dari sudut penamaannya, istilah al-Jahmiyyah adalah berasal daripada nama seseorang yang bernama Jahm bin Shafwan yang telah dibunuh oleh Salm bin Ahwaz pada tahun 127H. Aliran ini sangat terkenal dengan dasar pemikiran mereka yang cenderung menggunggulkan akal fikiran di atas al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih sehingga yang demikian mereka telah mencipta pelbagai pemahaman yang sesat lagi menyesatkan di dalam agama.
Antaranya ialah mereka mendakwa bahawa al-Qur'an adalah makhluk Allah, Allah berada di merata tempat (di mana-mana), di samping mereka juga menafikan (meniadakan) sebahagian sifat-sifat Allah khususnya sifat Istiwa' (bersemayam) Allah di atas 'Arasy di atas langit, Tangan (al-Yad) Allah dan lain-lainnya. Dilihat dari segi sejarah asal-usul kelahiran aliran ini, al-Jahmiyyah dipercayai berasal daripada Ja'd ibn Dirham, daripada Aban ibn Sam'an, daripada Thaluth iaitu anak kepada saudara perempuan Lubaid ibn al-A'sham, seorang Yahudi yang pernah mensihir Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Berhubung dengan aliran al-Jahmiyyah, saya (Mohd Hairi) rasa terpanggil untuk membuat ulasan yang agak panjang mengenai aliran ini yang pada masa kini didapati telah pun begitu berkembang dan mendapat sambutan yang meluas oleh segelintir umat Islam di negara kita (Malaysia). Pertama sekali, apa yang ingin saya sentuh di sini ialah sikap mereka yang begitu keras di dalam memusuhi Ahli Sunnah dan para tokohnya. Telah berkata Abu Hatim al-Razi rahimahullah:
"Tanda-tanda aliran al-Jahmiyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai al-Musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk –pen). Tanda-tanda aliran al-Qadariyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai berfahaman al-Jabariyyah. Tanda-tanda al-Murji'ah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai al-Mukalifah (suka menyimpang) dan al-Nuqshaniyyah (suka mengurangi). Tanda-tanda aliran al-Rafidhah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai al-Tsaniyyah." [Ashl al-Sunnah wa I'tiqad al-Din; dalam Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabhiyah, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003), ms. 34].
"Jika anda mendengar seseorang berkata: "Si fulan adalah al-Musyabbihah atau si fulan berbicara tentang masalah tasybih" maka ketahuilah bahawa dia seorang al-Jahmiyyah." [Syarhus Sunnah; dalam Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabhiyah, ms. 34].
Berdasarkan kepada penjelasan kedua-dua tokoh Ahli Sunnah di atas, maka jelaslah bagi kita bahawa kaedah yang paling mudah untuk kita mengenali ciri-ciri mereka yang berfahaman al-Jahmiyyah adalah dengan cara melihat sendiri kepada sikap mereka yang begitu mudah menggelari Ahli Sunnah sebagai al-Musyabbihah (golongan menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk).
Antara contoh individu yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri golongan yang berfahaman al-Jahmiyyah ini ialah Abu Syafiq (menerusi web blognya di talian: www.abu-syafiq.blogspot.com), iaitu merupakan salah seorang "tokoh" pendusta tanah air yang dilihat paling lantang dalam mentohmah dan menuduh para pendukung Sunnah sebagai golongan yang berakidah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah.
Tidak syak lagi bahawa antara faktor terpenting yang menyebabkan "tokoh" pendusta ini begitu mudah melontarkan pelbagai fitnah ke atas Ahli Sunnah adalah disebabkan oleh kejahilan beliau sendiri di dalam memahami manhaj dan akidah yang dibawa oleh para pendukung al-Sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Contoh mudah bagi menggambarkan fenomena kejahilan beliau ini terhadap manhaj Ahli Sunnah berhubung dengan subjek al-Asma' wa al-Sifat Allah ialah berkaitan dengan persoalan "di manakah Allah".
Memahami manhaj Ahli Sunnah berhubung persoalan "Di Manakah Allah".
Menurut manhaj Ahli Sunnah, apabila seseorang itu ditanya tentang keberadaan Allah, maka dia hendaklah menjawabnya sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih, iaitu dengan menetapkan bahawa "Allah beristiwa' di atas 'Arasy di atas langit-Nya" dengan disertai keyakinan bahawa penetapan sifat al-Istawa' bagi Allah di atas 'Arasy di atas langit itu tidaklah bermaksud bahawa di sana (di atas 'Arasy di atas langit) adanya sesuatu keadaan yang meliputi-Nya sebagaimana yang sering disalah-fahami oleh Ahli Bid'ah, khususnya oleh kedua-dua "tokoh" pendusta di atas serta golongan yang sealiran dengan mereka berdua.
Oleh kerana "tokoh" pendusta ini tidak pernah berhenti dari "menyalakkan" isu Ahli Sunnah sebagai golongan yang berakidah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah, maka saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sedikit pencerahan (clarification) terhadap fitnah yang dilontarkan oleh mereka berdua tersebut. Diharap dengan penjelasan ini sedikit sebanyak ianya dapat memberi kesedaran kepada beliau dan sesiapa jua yang telah terpengaruh dengan fitnah yang beliau lontarkan selama ini.
Sebelum kita mengorak langkah dengan lebih jauh untuk membahaskan persoalan ini, maka terlebih dahulu akan saya kemukakan beberapa buah hadis berkaitan persoalan "di manakah Allah", disusuli dengan komentar para ulamak Ahli Sunnah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih terhadapnya serta pernyataan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dari kalangan imam empat mazhab:
Hadis pertama.
Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bertanya kepada seorang hamba wanita:
"Dimanakah Allah?" Hamba itu menjawab: "Di atas langit". Baginda bertanya lagi: "Siapakah saya?" Hamba itu menjawab: "Anda Rasulullah". Maka bersabda baginda: "Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman" [Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim – hadis no: 537]
Ketika mengomentari hadis tersebut, Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata:
"Demikian kita melihat setiap orang yang ditanya: Di mana Allah? Nescaya dia akan menjawab dengan fitrahnya: Allah di atas langit. Dalam hadis ini terdapat dua masalah: Pertama, disyariatkannya pertanyaan kepada seorang muslim: Di mana Allah?. Kedua, jawapan orang yang ditanya pertanyaan tersebut: Di atas langit. Barangsiapa yang mengingkari dua masalah ini, maka bererti dia mengingkari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam." [Al-'Uluw lil 'Aliyil Azhim (ms. 81, Mukhtasar al-'Uluw, al-Albani); dinukil dengan sedikit suntingan bahasa daripada buku Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan!, Abu Ubaidah As-Sidawi (Media Tarbiyah, Jawa Barat, Indonesia, 2008), ms. 14-15].
Sehubungan dengan ini, Imam Utsman ad-Darimi rahimahullah berkata:
"Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa seorang apabila tidak mengetahui kalau Allah itu di atas langit bukan dibumi, maka dia bukan seorang mukmin. Apakah anda tidak tahu bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan tanda keimanan budak wanita tersebut adalah pengetahuannya bahawa Allah di atas langit?!!!" [Ar-Radd ala Jahmiyyah, ms. 46-47; dalam buku Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan!, ms. 14-15].
Hadis kedua.
Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Rabb (Tuhan) kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia (Allah) berfirman: "Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni" [Hadis riwayat al-Bukhari, hadis no: 1145 dan Muslim, hadis no: 758].
Berhubung dengan hadis di atas, Imam 'Utsman bin Sa'id ad-Darimi rahimahullah berkata:
"Hadis ini sangat pahit bagi kelompok al-Jahmiyyah dan mematahkan fahaman mereka bahawa Allah tidak di atas 'Arasy tetapi di bumi sebagaimana Dia juga di langit. Lantas bagaimanakah Allah turun ke bumi kalau memang Dia sendiri sudah (berada) di atas bumi?!! Sungguh lafaz hadis ini membantah fahaman mereka dan mematahkan hujah mereka." [Naqdhu 'Utsman bin Sa'id 'alal Marisi al-Jahmi al-Anid, ms. 285; dinukil dengan sedikit suntingan bahasa daripada buku Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan!, ms. 18].
Sekian dua buah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan "di manakah Allah?". Ternyata, jawapan yang paling tepat bagi seseorang Muslim yang apabila diajukan pertanyaan kepadanya tentang di manakah Allah, maka dia hendaklah menjawabnya sebagaimana zahir lafaz jawapan wanita dalam hadis di atas, iaitu "Allah di atas langit".
Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, sikap Ahli Sunnah ketika berinteraksi dengan Asma' wal al-Sifat Allah adalah dengan menetapkan apa-apa yang Allah sifatkan ke atas diri-Nya, baik menerusi al-Qur'an mahupun al-Sunnah Rasul-Nya yang sahih, memahami maknanya secara zahir sesuai dengan kaedah bahasa Arab itu sendiri, serta menyerahkanya (al-Tafwidh) ciri-ciri, cara dan bentuk sifat-sifat tersebut kepada pengetahuan Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan disertai keyakinan bahawa tidak ada sesuatu jua dari kalangan makhluk Allah baik yang berada di langit mahupun yang di bumi yang semisal atau sebanding dengan-Nya, baik dari segi sifat mahupun dari segi Dzat-Nya.
Demikian betapa mudahnya untuk kita memahami manhaj Ahli Sunnah di dalam berinteraksi dengan al-Asma' wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Amatlah malang apabila manhaj Ahli Sunnah yang amat mudah difahami hatta oleh seorang budak hamba wanita ini tidak begitu difahami oleh Ahli Bid'ah sehingga yang demikian menyebabkan mereka begitu mudah mengaitkan Ahli Sunnah dengan akidah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah sebagaimana yang sering ditemui dalam banyak penulisan mereka.
Bagi melengkapkan kefahaman kita terhadap persoalan "di manakah Allah?", maka marilah kita meninjau pula apakah penjelasan para tokoh Ahli Sunnah terhadap persoalan ini, dimulai dengan pernyataan Syaikhul Islam Taqiyuddin Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagaimana katanya:
"Sudah tetap lagi kukuh bahawa Allah, adalah Dia Maha Tinggi, paling Tinggi (tiada apa-apa yang lebih Tinggi daripada-Nya). Difahami dari kata-kata "Dia di langit", bahawa Dia pada sifat ketinggian-Nya, bahawa Dia di atas setiap sesuatu yang lain. Oleh kerana itulah apabila seorang hamba ditanya (oleh Rasulullah): "Di mana Allah?" Hamba itu menjawab: "Di langit". Sesungguhnya yang dimaksudkan oleh hamba tersebut ketika menjawab "Allah di langit" ialah sifat Maha Tinggi (al-'Uluw) bagi Allah di samping tidak mengkhususkan Allah dengan jisim-jisim atau keberadaan Allah dalam sesuatu jisim. Apabila dikatakan: Maha Tinggi (al-'Uluw), maka ia mencakupi apa yang di atas sekalian makhluk. Namun ini bukan bermaksud bahawa di sana terdapat satu keadaan yang meliputi Dia kerana di atas alam ini tidak ada sesuatu pun yang wujud kecuali Allah....
Seterusnya sesiapa yang menimbulkan keraguan berkenaan keadaan Allah di langit dengan makna bahawa langit melingkungi-Nya atau meliputi-Nya, maka dia dikira berdusta dan sesat. Seandainya begitulah iktiqad dia terhadap Tuhannya. Tidaklah kami mendengar bahawa ada seorang juga yang memiliki kefahaman sedemikian dengan lafaz sedemikian. Dan tidak juga kami melihat ada seorang jua yang menaqalkan daripada seseorang yang lain." [Bayan Talbis al-Jahmiyyah, jld. 1, ms. 559; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, Syaikh Murad Syukri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2008), ms. 87-88, lihat nota kaki no: 77-78].
Dalam keterangannya yang lain, Syakhul Islam menjelaskan:
"Semua ucapan yang disebut oleh Allah (dalam al-Qur'an dan al-Sunnah Nabi-Nya yang sahih –pen) yang mengatakan bahawa Dia di atas 'Arasy mengandungi makna yang benar seperti apa adanya, tidak memerlukan tahrif (dialihkan kepada pengertian lain). Tetapi ia terpelihara dari sangkaan yang tidak benar, umpamanya sangkaan bahawa langit mengangkat atau menaungi-Nya. Pendapat ini adalah batil menurut ijmak (kesepakatan) ahli ilmu dan iman.
Sesungguhnya kursy Allah itu benar-benar meliputi langit dan bumi (sila lihat surah al-Baqarah ayat 255 –pen) agar perjalanan kedua-duanya tidak tergelincir dan Dia menahan langit dan bumi agar tidak meleburkan bumi dengan Izin-Nya. Allah berfirman sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur'an, surah ar-Rahman ayat 25 (yang bermaksud) : Dan sebahagian tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah berdiri (terbinanya) langit dan bumi dengan perintah-Nya." [Al-Asilatu Wa Ajwibatul Usuliyyah 'Alal Aqidatil Wasathiyyah, Dr. Abd Aziz Muhammad As-Salman; dalam edisi terjemahan oleh Akmal Hj Mhd. Zain di atas judul Soal Jawab Aqidah Islam Menurut AhluS Sunnah Wal Jama'ah (Darul Nu'man, Kuala Lumpur, 1996), ms. 189-190].
Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin rahimahullah berkata:
"Di antara (sifat) yang tidak ditetapkan dan juga tidak dinafikan (dalam al-Qur'an dan al-Hadis adalah) lafaz Arah (al-Jihhah). Jika ada yang bertanya: "Apakah ditetapkan (sifat) Arah bagi Allah?" Kami akan menjawab, lafaz Arah tidak disebut dalam al-Qur'an mahu pun al-Hadis, sama ada penetapan atau penafian. Cukuplah kita menggunakan perkataan (lafaz) yang terdapat dalam al-Qur'an dan al-Hadis, iaitu "Allah berada di langit".
Ada pun maknanya, maka ia mungkin bermakna Arah ke bawah, Arah ke atas yang meliputi Allah atau Arah ke atas yang tiada meliputi-Nya. Maka makna yang pertama adalah batil kerana bertentangan dengan sifat ketinggian Allah yang telah ditetapkan beradasarkan al-Qur'an, al-Hadis, akal, fitrah dan ijmak para ilmuan. Makna yang kedua adalah batil juga kerana Allah Ta'ala Maha Agung dari diliputi oleh sesuatu daripada makhluk-Nya. Makna yang ketiga adalah benar kerana Allah jauh Maha Tinggi daripada makhluk-Nya dan tidak ada sesuatu daripada makhluk-Nya yang dapat meliputi-Nya." [Al-Mujalla fi Syarh al-Qawaid al-Mustla fi Shifatillah wa Asmai al-Husna li al-'Allamah Muhammad Shalih al-'Utsaimin, Kamil al-Kawari, ms. 216-218; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, ms. 87-88, sila lihat nota kaki no: 67].
Selanjutnya, ketika mengomentari hadis berkenaan pertanyaan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kepada hamba wanita sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu 'anhu yang telah lalu, Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin rahimahullah sekali lagi berkata:
"Jika mereka menolak bahawa Allah di atas alam semesta kerana akan memberi maksud "arah tertentu" (al-Jihhah), maka mereka salah kerana tiada seorang pun dari alam semesta yang pernah naik menemui Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, namun baginda menegaskan bahawa Dia Subhanahu wa Ta'ala berada di atas langit lalu menunjuk ke atas kerana itu adalah arah ketinggian (al-'Uluw). Arah 'al-'Uluw' ini tidak terbatas, mengandungi atau meliputi Allah yang Maha Besar. Tiada sesuatu yang (dapat) mengatasi-Nya, yang Maha Tinggi.
Apakah mereka (menafikan sifat ketinggian bagi Allah ini) lebih fasih ucapannya daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam? Apakah mereka lebih lurus terhadap ajaran-ajaran agama ini daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam? Sudah tentu mereka tidak demikian sama sekali. Dan Nabi tidak berniat hendak membingungkan umatnya. Seandainya ada kedustaan ketika baginda mengesahkan tentang (sifat) ketinggian Allah, pasti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskannya. Namun teks (dalil) tidak memerlukan kesimpulan-kesimpulan dusta yang dibuat oleh mereka yang menafikan ketinggian (al-'Uluw) Dzat Allah di atas alam semesta.
Tidak ada dalil dari al-Qur'an dan al-Sunnah yang mengesahkan bahawa (sifat) ketinggian (Allah di atas 'Arasy di atas langit itu) membayangkan bahawa Allah terkandung pada suatu tempat atau Dia merupakan sebatian tubuh (jisim) atau dalam dalam batas-batas tertentu', kerana Dia di atas segala sesuatu dan tiada makhluk mengatasi alam semesta (kecuali) hanya Allah mengatasi segala sesuatu." [Dinukil daripada buku Tafsiru Ayatil Kursi oleh Syaikh Muhammad Shalil al-'Utsaimin; dalam edisi terjemahan oleh Siti Sujinah Sarnap al-Faqir Ibnu Hussin di atas judul Tafsir Ayat al-Kursi, (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 65-66, sila lihat notakaki no: 76].
Demikian huraian para tokoh Ahli Sunnah dari generasi awal Islam mengenai persoalan "keberadaan" Allah di atas langit. Kembali kepada syubhat (kekeliruan) yang sering ditimbulkan oleh Ahli Bid'ah di atas, bahawa dengan menetapkan sifat Allah "beristiwa di atas langit di atas 'Arasy-Nya di langit" - sebagaimana yang menjadi manhaj Ahli Sunnah - hanyalah akan membawa kepada tasybih dan tajsim, iaitu Allah sebagai Tuhan yang "bertempat", maka saya (Mohd Hairi) berkata:
· Pertama: Lafaz "Allah beristiwa' di atas 'Arasy-Nya di atas langit" itu bukanlah lafaz yang sengaja diada-adakan oleh Ahli Sunnah melainkan ianya merupakan lafaz yang didatangkan oleh Allah sendiri secara berulang kali baik menerusi al-Qur'an mahupun lisan Rasul-Nya, Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam. Sila lihat ayat-ayat berikut: [1] Surah Taha, ayat 5, [2] Surah al-A'raf, ayat 54, [3] Surah Yunus, ayat 3, [4] Surah al-Furqan, ayat 59, [5] Surah ar-Rad'd, ayat 2 dan [6] Surah As-Sajadah, ayat 4.
Manakala bagi hadis pula, cukuplah saya bawakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu'anhu (Shahih Muslim – hadis no. 537) sebagaimana yang saya telah kemukakakan pada lembaran yang lalu. Justeru, siapakah kita yang berlagak lebih alim daripada Dzat yang menurunkan lafaz itu dan menetapkannya sebagai salah satu sifat-Nya untuk mempersoalkan lafaz wahyu itu, lalu mendakwa ianya perlu digantikan kepada perkataan dan lafaz yang lain demi mengikuti kehendak hawa nafsu dan andaian logik akal manusiawi kononnya bagi mengelakkan tasybih dan tajsim bagi Allah?
Ketahuilah bahawa para tokoh generasi awal Islam (al-Salaf al-Shalih) tidak ada seorang pun jua yang mendakwa adanya keperluan untuk menggantikan/menghapuskan lafaz-lafaz wahyu mengenai sifat-sifat Allah yang sedia ada itu kepada lafaz yang lain bagi mengelakkan tasybih dan tajsim, walhal merekalah golongan yang paling arif lagi mendalam ilmunya mengenai sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala serta mendapat pengiktirafan yang langsung dari lidah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagai khairul qurun atau sebaik-baik generasi sebagaimana sabdanya: “Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi'in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi'ut at tabi'in)” [Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah – hadis no: 700].
Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berikut ini: "Hanya milik Allah al-Asma’ al-Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut al-Asma’ al-Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. [Surah al-A’raaf :180]
Tidak syak lagi bahawa dakwaan Ahli Takwil akan wajibnya menggantikan sebahagian lafaz nas al-Sifat Allah kepada lafaz yang lain dengan alasan bagi mengelakkan tasybih dan tajsim ke atas Allah adalah menyerupai manhaj kaum Yahudi sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dan keterangan Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah, iaitu salah seorang ulamak Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang mengikutinya seperti berikut: "Iaitu orang-orang Yahudi, mereka mentahrif (mengubah) perkataan dari tempat-tempatnya..." [Surah an-Nisa': 46]
Berkata Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah dari kalangan ulamak asy-Syafi'iyah:
"Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa 'Ala, sesungguhnya Pencipta kami Dia beristiwa' di atas 'Arasy-Nya. Kami tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengcuapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan al-Jahmiyyah yang pernah berkata: "Sesungguhnya Dia (Allah) Istaula' (menguasai) 'Arasy-Nya bukan Istiwa'! Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (oleh Allah dan Rasul-Nya) kepada mereka.
(Tindakan mereka ini) menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintahkan (oleh Allah) mengucapkan (lafaz) "Hithtatun" (yang bermaksud: Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah) "Hinthah" (yang bermaksud: makanlah gandum)!. Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah yang Maha Agung dan Maha Tinggi, maka seperti itulah (juga perbuatan kaum) al-Jahmiyyah" [Ibn Khuzaimah, Kitab at-Tauhid fi Ithbat as-Sifat, ms. 10; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh, Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001), ms. 41-42].
· Kedua: Menetapkan sifat Allah sebagai Tuhan yang beristiwa' di 'Arasy di atas langit tidaklah bermaksud menggambarkan bahawa Dia (Allah) memerlukan kepada suatu tempat atau ruang yang dapat meliputi dan melingkungi-Nya. Ini sudah dijelaskan berkali-kali dalam huraian yang lalu. Dakwaan bahawa dengan menetapkan sifat Istiwa' bagi Allah di atas 'Arasy-Nya di atas langit sebagai mensifati-Nya dengan sifat "bertempat" hanyalah merupakan rumusan yang berasal dari Ahli Bid'ah itu sendiri berdasarkan logik akal mereka, bukannya Ahli Sunnah.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana mungkin manhaj menetapkan sifat Istiwa' Allah di atas 'Arasy-Nya di atas langit itu yang menjadi dasar akidah Ahli Sunnah sejak zaman Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum itu boleh membawa Ahli Sunnah kepada keyakinan bahawa Allah sebagai Tuhan yang diliputi oleh suatu ruangan/tempat seperti langit-Nya, sedangkan Ahli Sunnah sendiri telah maklmum lagi arif akan firman-Nya yang bermaksud "Luasnya kursy-Nya meliputi langit dan bumi" [Surah al-Baqarah: 255]. Justeru, bagaimana mungkin Ahli Sunnah boleh beriktikad bahwa Allah itu dilitupi atau dilingkungi oleh langit-Nya sedangkan yang meliputi langit itu sendiri adalah Kursy-Nya, manakala Dia, iaitu Allah, berada di atas segala-galanya dan terpisah dari segala makhluk-Nya (termasuk langit kerana langit itu adalah makhluk-Nya juga) ?
Kesimpulannya, dalam hal ini kesalahan tidak terletak kepada pihak Ahli Sunnah. Sebaliknya yang bersalah ialah Ahli Bid'ah itu sendiri yang sememangnya sering dalam kebingungan dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Allah sehingga mengaitkan sifat Istiwa' Allah di atas 'Arasy-Nya di atas langit dengan sifat "bertempat". Lucunya, natijah dari kebingungan mereka mengenai sifat-sifat Allah ini pula mereka letakkan kepada Ahli Sunnah, lalu dengan penuh angkuh mereka mendakwa merekalah Ahli Sunnah yang "sejati" dan berakidah murni, manakala Ahli Sunnah yang secara terang-terangan berpegang teguh kepada manhaj al-Salaf al-Shalih pula mereka gelar sebagai golongan al-Mujassimah dan al-Musyabbihah. Subhanallah!
Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, menetapkan sifat Istawa' Allah di atas 'Arasy di atas langit-Nya itu bukanlah manhaj golongan Ahli Sunnah yang dimasyhurkan dengan gelaran "wahabi" semata-mata sepertimana dakwaan Ahli Bid'ah, malah manhaj ini juga merupakan manhaj yang menjadi pegangan seluruh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dari kalangan generasi awal umat Islam (al-Salaf al-Shalih). Bagi membuktikan kenyataan ini, berikut akan saya paparkan beberapa pernyataan dari para tokoh Ahli Sunnah yang saya maksudkan, dimulai dengan pengakuan para imam mazhab sebagai pembuktian mengenai kesepakatan (ijmak) mereka terhadap manhaj tersebut:
Imam al-Auza'i rahimahullah yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya. Beliau menegaskan:
"Kami dan para tabi'in semuanya menetapkan dengan kesepakatan (ijmak) qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-Sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta'ala." [Fathul Bari, Ibn Hajar al-'Asqalani; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh (Jilid 1), Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001), ms. 14].
Berkata Imam Abu Hanifah rahimahullah:
"Sesiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir. Adapun terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan: Aku tidak tahu apakah Tuhanku di langit atau di bumi? Berkata Imam Abu Hanifah: Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman: Ar-Rahman di atas 'Arasy al-Istiwa.'" [Mukhtasar al-'Ulum, ms. 137, tahqiq al-Albani. Dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ...., ms. 38-39].
Berkata Imam Malik rahimahullah:
"Allah berada di atas langit sedangkan ilmu-Nya di tiap-tiap tempat (di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatu pun daripada-Nya." [Mukhtasar al-'Ulum, ms. 140; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 39].
Berkata Imam asy-Syafi'e rahimahullah:
"Sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya dan 'Arasy-Nya di atas langit." [Mukhtasar al-'Ulum, ms. 179; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 39].
Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Yunus Ibn 'Abd Al-'Ala, katanya :
"Aku mendengar asy-Syafi'e berkata: "Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat (al-Asma' wa al-Sifat) yang tidak boleh sesiapa pun menolaknya, dan sesiapa yang menyalahinya setelah nyata hujah ke atasnya, maka sesungguhnya dia telah kufur. Adapun sebelum tertegaknya hujah, maka sesungguhnya dia dimaafkan di atas kejahilan itu kerana ilmu yang demikian itu tidak boleh dicapai melalui akal, mimpi, atau fikiran. Maka kita menetapkan (ithbat) sifat-sifat ini dan kita juga menafikan tasybih (penyerupaan) dari-Nya sebagaimana dia menafikan dari diri-Nya" [Fathul Bari Bi Sharh Shahih al-Bukhari, Ibn Hajar al-'Asqalani; jld. 13, ms. 407; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, Dr. Azwira Abdul Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2006), ms. 77-68].
Berkata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
"Benar! Allah di atas 'Arasy-Nya dan tidak sesiapa pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya" [Mukhtasar al-'Ulum, ms. 188; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 39].
Atsar Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah menjelaskan:
"Barangsiapa tidak menetapkan Allah Ta'ala di atas 'Arasy-Nya dan Allah Istiwa' di atas tujuh langit-Nya, maka dia telah kafir dengan Tuhannya" [Ma'rifah 'Ulum al-Hadits, ms. 84; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 39-40].
Atsar Syaikhul Islam Abdul Qadir al-Jailani rahimahullah menjelaskan:
"Tidak boleh mensifatkan-Nya bahawa Dia berada di tiap-tiap tempat, bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Dia di atas langit (yakni) di atas 'Arasy sebagaimana Dia telah berfirman: "(Allah) Ar-Rahman di atas 'Arasy, Dia beristiwa'. Dan patutlah memutlakkan sifat Istiwa' dengan Dzat-Nya di atas 'Arasy. Keadaan-Nya di atas 'Arasy disebut pada Nabi yang Dia utus tanpa (bertanya): Bagaimana caranya (Allah al-Istiwa' di atas 'Arasy-Nya)." [Fatwa Hamwiyah Kubra, ms. 84; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 40].
Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari rahimahullah:
"Di atas langit-langit itulah 'Arasy, maka tatkala 'Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman: Apakah kamu merasa aman terhadap Dzat yang berada di atas langit? Sesungguhnya Dia Istiwa' di atas 'Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan 'As-Sama' (langit), maka 'Arasy berada di atas langit. Bukanlah yang dimaksudkan di dalam firman: Apakah kamu merasa aman terhadap Dzat yang berada di atas langit? Bukan di seluruh langit! Tetapi 'Arasy-Nya yang berada di atas langit." [Al-Ibanah an Ushul ad Diyanah, ms. 48; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 40-41].
Penutup.
Sebagai mengakhiri perbahasan ini, berikut saya paparkan pula beberapa lagi pernyataan para ulamak muktabar Ahli Sunnah berkenaan manhaj mereka di dalam menetapkan sifat Istawa' Allah di atas 'Arasy di atas langit :
Imam adz-Dzahabi rahimahullah telah berkata:
"Ucapan para al-Salaf dan Imam-Imam Sunnah bahkan para sahabat, Allah, Nabi dan seluruh kaum muslimin bahawasanya Allah di atas langit dan di atas 'Arasy, dan bahawa Allah turun ke langit dunia. Hujah-hujah mereka adalah hadis-hadis dan atsar-atsar yang sangat banyak." [Al-'Uluw, ms. 143; dalam buku Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan!, ms. 18].
Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah ketika ditanya tentang bagaimana untuk kita mengetahui di mana Allah? Beliau menyatakan:
"Ketika ditanya kepada Abdullah bin al-Mubarak: Bagaimana kita boleh mengetahui di mana Tuhan kita? Beliau menjawab: Dengan mengetahui bahawa Dia di atas langit ketujuh di atas 'Arasy-Nya." [As-Sunnah, Abdullah bin al-Imam Ahmad, ms. 5; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah...., ms. 18].
Berkata Syaikh Abu Nashr al-Sijzi rahimahullah dalam kitabnya al-Ibanah:
"Para imam kami seperti Sufyan al-Tsauri, Malik (bin Anas), Sufyan bin 'Uyainah, Hammad bin Salamah, Hammad bin Zaid, 'Abd Allah bin al-Mubarak, Fudhail bin 'Iyadh, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah semuanya bersepakat mengatakan bahawa Allah pada Dzat-Nya di atas 'Arasy." [Dar'u Ta'arudh, jld. 6, ms. 250; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, ms. 83].
"Telah bersepakat umat Islam daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah atas firman Allah: "Dan Allah tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada" [surah al-Hadid: 4] dan ayat yang seumpama, bahawa ia bermaksud (kebersamaan dari sudut) ilmu-Nya (dan bukan Dzat-Nya). Allah di atas langit dengan Dzat-Nya, Istawa' di atas 'Arasy dengan cara yang layak bagi-Nya. Dan berkata para tokoh Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap friman-Nya: "(Allah) Ar-Rahman yang bersemayam di atas 'Arasy" [surah Taha: 5], bahawa Allah Istawa' di atas 'Arasy secara hakikat dan bukan kiasan." [Dar'u Ta'arudh, jld. 6, ms. 250; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, ms. 84]
Berkata Syaikh Nashr al-Maqdisi rahimahullah dalam kitabnya al-Hujjah 'ala Taraka al-Mahajjah, sekiranya ada orang bertanya:
"Sesungguhnya anda telah menyebut bahawa yang wajib ke atas umat Islam ialah mengiktui al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam serta apa yang menjad kesepakatan para imam dan ulamak sehingga menjadi dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Maka sebutlah mazhab mereka umat Islam dan apa yang telah mereka sepakati dalam perkara akidah dan apa yang patut kita ikut berdasarkan kesepakatan mereka" Maka jawapannya: "Apa yang telah saya terima daripada para ilmuan dan orang yang saya temui dan orang yang saya ambil (riwayat) daripada mereka ialah (maka dia menyebut sejumlah dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ... di antaranya) sesungguhnya Allah Istawa' di atas 'Arasy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya." [Dar'u Ta'arudh, jld. 6, ms. 251; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, ms. 84-85].
1 comment:
Abang Hairi..apa khabar..lama x jumpa..haha..tahun akhir dah kan di UMS..bagus..teruskan usaha mencari ilmu
Post a Comment