Saturday, August 16, 2008

JANGAN MUDAH MENUDUH ORANG WAHHABI

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Ketika saya dihubungi agar mengulas tentang satu gerakan yang suka

menuduh orang lain wahhabi, saya pada mulanya malas nak campur. Di kala

negara sedang gelut dengan krisis yang berbagai, ada juga puak yang sibuk

wahabi-mewahabi orang lain. Apatah lagi, saya pun dah lama tidak berfikir

tentang isu tersebut kerana sibuk dengan isu-isu yang lebih bersifat nasional

dan sejagat.


Sebenarnnya, di negara kita kini sedang muncul satu golongan yang

menyembunyikan identitinya. Mereka ini jika di negara Arab digelar Ahbash.

Puak ini berpusat di Lubnan dan mempengaruhi sesetengah pelajar kita di

sana juga yang di tempat lain. Perkataan ahbash merujuk kepada pengasas

dan pengikut mereka yang berketurunan Habsyi Afrika. Guru mereka ialah

Abdullah al-Harari. Seorang yang terkenal suka mengkafirkan orang lain yang

tidak sependapat dengannya. Dia sentiasa mendakwa bahawa hanya dirinya

Ahlussunnah wal Jamaah dan bermazhab Syafii. Sesiapa yang tidak

bersependapat dengannya itu sesat, atau kafir atau wahhabi. Hasilnya

berlakulah pembunuhan dan rusuhan. Mereka telah mengkafirkan ulamaulama

terdahulu seperti al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Qayyim, al-Imam

al-Zahabi, al-Imam Ibn Kathir, Muhammad bin Abdul Wahhab dan lain-lain.

Ulama semasa yang dikafirkan oleh mereka termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi,

Dr. Said Ramadhan al-Buthi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb, al-Albani, Mufti

Lubnan Hasan Khalid lain-lain. Sesiapa yang berminat mereka boleh layari

bankahbash.blogspot.com. untuk mengetahui sikap ektremis golongan ini.


Di Malaysia, mereka mula menyerap dalam sesetengah pihak berkuasa

agama di negeri-negeri tertentu. Mereka menganjurkan program-program

atas nama Ahlussunnah wal Jamaah. Isi kandungannya adalah menuduh

sesiapa yang tidak sebulu dengan mereka sebagai wahhabi. Slogan mereka

sama, sesiapa yang memberikan pendapat yang tidak sama dengan mereka

maka dia sesat atau wahhabi. Cara kebetulan pula pandangan sesetengah

golongan pembaharuan memang ada perbezaan dengan pandangan

agamawan tempatan. Namun, itu bukan kesalahan dan baru. Dahulu pun

dalam negara ini ada gerakan kaum muda seperti Zaba, Syed Syeikh al-Hadi,

Burhanudin al-Helmi, Abu Bakar al-Baqir dan selain mereka yang memang

diiktiraf sumbangan mereka dalam pembaharuan dan kemerdekaan.


Walaupun ada tentangan terhadap kaum muda dari kelompok konservertif

tradisionalis melayu, namun buku-buku sejarah yang jujur terus mengiktiraf

sumbangan kaum muda kepada pendidikan, perjuangan hak wanita,

kemajuan pemikiran, pembebasan dari kejumudan dan seumpamanya.

Namun hari ini puak Ahbash yang muncul dan menyelinap masuk

dalam masyarakat kita cuba membangkit perkara-perkara perbezaan ini

sehingga ke peringkat kafir mengkafir. Kata mereka golongan pembaharuan

menimbulkan pecah belah dalam masyarakat. Padahal jika mereka jujur,

perpecahan yang sebenar dalam masyarakat melayu sekarang adalah dalam

isu-isu politik, bukan isu kenduri arwah, tol orang mati dan joget tarekat yang

dipertahankan oleh mereka. Untuk menarik minat masyarakat, mereka

menuduh sesiapa sahaja yang memberikan pandangan berbeza itu sebagai

wahhabi dan ektremis. Padahal, golongan Ahbash ini menyimpan racun

mereka dan menunggu hari untuk dikeluarkan. Tidak hairan jika beberapa

pembunuhan di Lubnan dikaitkan dengan mereka dan ramai tokoh yang

menganggap mereka mempunyai hubungan dengan CIA. Sebab itu kita

melihat pendekatan Ahbash ini ada ala-ala Amerika. Jika Amerika yang

mengganas di negara orang, menuduh orang lain pengganas, demikian puak

Ahbash ini yang suka mengkafirkan orang lain, tetapi menuduh orang lain

pula mengkafirkan dan menumpahkan darah. Maka tidaklah pelik jika guru

Ahbash itu digelar al-fattan atau pencetus fitnah.


Di samping, kita juga tidak menafikan, wujudkan segelintir kelompok

yang menyandarkan diri kepada salafi kadang-kala ada ciri-ciri agak keras

dalam berinteraksi dengan amalan tradisi tempatan atau menimbul beberapa

pendapat yang tidak wajar dibesar-besarkan. Saya sendiri kurang bersetuju

untuk terlalu bertegas dalam perkara-perkara yang diizinkan syarak untuk

kita berbeza pendapat. Namun, kesilapan mereka itu hanya pada pendekatan

dan pemilihan keutamaan. Tidak sepatutnya untuk mereka dihukum sesat

atau dikafirkan oleh kelompok Ahbash ini.


Namun, jarum Ahbash ini nampaknya ada juga yang terpengaruh lalu

menuduh sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan pandangan mereka

sebagai wahhabi. Padahal, jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka

melebelkan orang lain sebagai wahabi; apa itu wahabi?. Mereka pun tak

pasti dan berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah

sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang

lain juga tidak qunut subuh. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu

Hanifah juga wahabi? Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia

tahlil maksudnya La ilah illa Allah, tahmid bermaksud Alhamd li Allah, tasbih

bermaksud subhana Allah. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana

mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi yang

dituduh wahhabi itu menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaanbacaan

mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!. Ada

yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Ramai yang

tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian,

kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi

sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata

wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang

sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.


Mungkin yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut

Muhammad bin Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya Wahhabi.

Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang

menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku

Muhammad bin Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang

tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama

ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fekah yang

ulung. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadis,

sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak tegas. Namun,

sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara

peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun

sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-

Aulawiyyat memuji Muhammad bin Abdul Wahhab, dengan berkata: Bagi alImam

Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah

menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang

telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah

menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit

menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan

gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Juga

tokoh ahli fekah terkenal, Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan

menyebut: Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang

sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran

yang agung (maksudnya) Jangan kamu kurangkan manusia apa yang

menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling

berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad

dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf

al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin Abd al-Wahhab pada

kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan

muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan,

bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin Abd al-Wahhab ialah

pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang

menzahir timbangan akidah yang bersih.. (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili,

Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak

lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Ramai lagi tokoh-tokoh lain

yang memuji Muhammad bin Abd al-Wahhab, apakah tokoh-tokoh agama

yang begitu ramai itu patut dituduh wahabi?!!!.


Kitab al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafii tulisan tokohtokoh

semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-

Syeikh Mustafa al-Bugha dan Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca

antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: Daripada bid'ah apa yang

dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai

kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat

puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari

harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh,

maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta

benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim

tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang

memanggil dan memakannya (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam). Apakah

semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita

dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah

merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: (dan makruh) lagi bid'ah bagi

orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas

memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian

daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi)

makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan

seruannya (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh

Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-

Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: Maka bid'ah yang tidak elok

(7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.


Apabila ada yang memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang

dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata:

dia wahabi. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin Abd al-

Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu

Syaaban, beliau menjawab: Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.

dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan

malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti

yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian

negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di

masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat

panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung

kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik

dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi tabi`in). Ianya satu do`a

yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga

bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu

Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian

negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita

melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu

ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas

mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah

itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi,

Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga

wahabi?!!


Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam

mazhab al-Syafi'i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah

dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: Ketahui

sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih

r.a adalah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan

bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati

dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah.

Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul.

Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.

Sesungguhnya Abu Ali al-Fudail bin Iyad r.a. pernah berkata maknanya-:

Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit

yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh

dengan banyaknya golongan yang rosak. Adapun apa yang dilakukan oleh

golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan

yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah

haram dengan ijma ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah

keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu

membantahnya tetapi tidak membantahnya. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-

226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di

zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan

tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka

mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab

al-Syafii yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:

adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan

orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit

pun. Ia adalah bidah yang tidak disukai (Al-Nawawi, al-Majmu Syarh al-

Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr). Tentu jika mereka masih hidup akan

dituduh wahabi!


Bahkan jika al-Imam al-Syafii masih hidup pun mungkin dia dituduh

wahhabi. Apa tidaknya dalam kitabnya al-Umm disebut: Pendapatku untuk

imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat.

Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari

daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir.

Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu

hendaklah dia perlahankan" (al-Syafi'i, Mausuat al-Imam al-Syafi'i: Al-Umm,

1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi). Tidakkah itu berbeza dengan

amalan orang melayu.


Ada kata golongan wahhabi tidak mewajibkan terikat dengan sesuatu

mazhab. Saya kata kalau begitu haramkanlah buku Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr

Wahbah al-Zuhaili, Dr Abd al-Karim Zaidan dan berbagai tokoh ulama

antarabangsa yang lain dari disebarkan di Malaysia ini. Sebab mereka ini

yang tidak mewajibkan terikat dengan satu-satu mazhab. Lihat apa kata Dr

Yusuf al-Qaradawi: Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya

bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab

ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti

yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali

apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Maka al-Quran dan al-

Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak

menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan manamana

mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa

sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan

sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang

mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun.

Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik

manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru

menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang Allah

taala tidak wajibkan. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama

yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang

memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf,

Kaif Nataamal Ma al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah)

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah

bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan

adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka

diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku

buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua

mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa

takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam

Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman!

Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki

yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada

mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendahrendahkan

puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan

itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan

keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil

antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Laranganlarangan

yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi

fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)

sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada

perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orangorang

yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana

sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah

kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan

janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah

seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?

(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.

(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu

kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah

memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita

sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan

terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Ramai

pendakwah yang menjadi mangsa akhlak buruk ini. Kita juga berdukacita dan

bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai nama pihak berkuasa agama.


Namun saya katakan kepada para pendakwah yang difitnah; bersabarlah.

Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi

Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah

dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam

Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mutazilah

mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya.

Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan

golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa

menuntut keikhlasan dan pengorbanan.


Wahai mereka yang suka menuduh orang lain atas sentimen tanpa

bukti. Berhentilah, banyak kerja lain yang patut kita buat. Jangan jumud.

Sekarang dunia moden, banyak pengetahuan boleh dicari hanya dengan

beberapa clik di hadapan internet. Jika kita tidak larat fikir, jangan halang

orang lain mencari maklumat dan berfikir. Tunjukkan imej keistimewaan Islam

itu dengan mengizin keperbagaian pemikiran hidup dalam iklim yang

harmoni selagi tiada penipuan dan pengkhianatan. Dunia fakta hanya

dimasuki oleh manusia yang cintakan ilmu. Bukan yang suka mengkafirkan

orang tanpa sebab atau menuduh orang wahabi hanya kerana tidak berkenan

di hati.

No comments: