Tuduhan ke atas tokoh ulama Ahli Sunnah sebagai mujassimah dan musyabbihah bukanlah suatu yang baru kerana ia telah berlaku sejak dari dulu lagi ketika kemunculan aliran-aliran pemikiran yang sesat [ Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 33]. Dalam konteks ini, Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (227H) berkata (maksudnya):
“Tanda-tanda aliran Al-Jahmiyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai musyabbihah…” [Muhammad Ibn Idris Ibn Al-Munzir Ar-Razi, Asl As-Sunnah Wa I’tiqad Ad-Din, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 34].
Al-Barbahari rahimahullah (329H) pula berkata (maksudnya):
“Bila kamu mendengar seseorang berkata (kepada Ahli Sunnah): “Si fulan adalah musyabbih (menyerupakan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk) atau si fulan memperkatakan tentang tasybih, maka ketahuilah bahawa dia (orang yang berkata itu) ialah seorang Jahmiyyah” [Hasan Ibn ‘Ali Ibn Khalaf Al-Barbahari, Syarh As-Sunnah, Tahqiq: Muhammad Sa’id Salim Al-Qahtani, Dar Ibn Al-Qayyim, Dammam, Arab Saudi, 1408H, Hal: 52].
Manakala Abu ‘Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H) pula berkata (maksudnya):
“Ciri-ciri ahli bid’ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terang memusuhi dan menghina Ahli Sunnah dan Ahli Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil) dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Sifat Allah dengan sifat makhluk)” [ Ismail Ibn ‘Abd Ar-Rahman Ibn Ahmad, ‘Aqidah As-Salaf Wa Ashab Al-Hadith, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 35].
Justeru segala tuduhan yang dilemparkan oleh Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim mestilah dinilai dan dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, kerana seseorang yang sanggup berbohong ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tergamak mengecam para Sahabat radhiallahu 'anhum akan lebih tergamak untuk berbohong dan mengecam para ulama selain mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaan sebenarnya, lalu kamu menyesal di atas perbuatanmu itu” [ Al-Hujurat, 49: 6].
- Dipetik dari Buku 'Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?' Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, Rujuk: Tohmahan Pertama.
(tambahan sudah ditarik semula)
No comments:
Post a Comment