Friday, March 30, 2018

Ahbash berselindung di sebalik ASWJ

DUNIA Islam diganggu golongan menyeleweng dari jalan lurus iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Kemunculan golongan seperti Syiah Rafidhah, Khawarij, Murjiah, Muktazilah, Jabariyah dan Jahmiyah merosakkan akidah yang benar.

Masih ada saki-baki pengikut golongan tersebut menyebarkan fahaman itu sehingga hari ini.

Sedihnya mereka menyebarkan ajaran menyeleweng ini dengan berselindung di sebalik nama ASWJ supaya kesesatan mereka tidak dapat dihidu masyarakat.

Artikel ini menjelaskan mengenai kumpulan jemaah takfir, Al-Ahbash yang giat menyebarkan fahaman mereka. Al-Ahbash wujud sejak dahulu lagi, mula menular dalam kalangan kita sejak kebelakangan ini melalui pelajar yang belajar di timur tengah khususnya di Lubnan.
Perihal kumpulan ini ada disebut dalam kitab 'Al-Mausu'ah Al-Muyassarah fi Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Mu'asirah' iaitu ensiklopedia yang menceritakan mengenai agama, mazhab dan kumpulan yang muncul dalam Islam. Al-Ahbash adalah kumpulan sesat diambil namanya sempena guru mereka, Abdullah Al-Harari Al-Habasyi.

Kumpulan ini muncul di Lubnan saat berlakunya huru-hara disebabkan perang saudara. Tatkala itu, masyarakatnya berada dalam kejahilan dan kefakiran. ketika itulah, kumpulan Ahbash ini mengambil peluang menyebarkan ajaran melalui metodologi ahli kalam, amalan kesufian dan kebatinan bertujuan merosakkan akidah dan memecahbelahkan umat Islam.

Abdullah Al-Harari dikenali sebagai Al-Fattan (pembawa fitnah), juga  Syeikhul Fitnah iaitu orang yang suka membawa fitnah. Ini disebabkan tindakannya yang bersekongkol dengan kerajaan kafir Hilasilasi di Lubnan mengakibatkan ramai ulama melarikan diri ke Mesir dan Saudi untuk menyelamatkan diri dari fitnah tersebut.

Kumpulan Ahbash ini membawa fahaman menyeleweng dari mazhab ASWJ. Antaranya mereka berfahaman Jahmiyyah iaitu kumpulan yang menafikan sifat ALLAH SWT, membawa fahaman Murjiah, Jabariah dan Rafidhah atau Syiah. Mereka mencela sahabat Nabi SAW dan menuduh Aisyah RA bermaksiat kepada ALLAH di samping fatwa mereka yang pelik.

Akhirnya Abdullah Al-Harari berjaya mengumpulkan pengikut yang taksub (mereka tidak mengiktiraf keislaman seseorang kecuali mereka mengakui akidah dibawa Abdullah Al-Harari).

Sedangkan akidah dibawa Abdullah Al-Harari ini jauh menyeleweng daripada akidah ASWJ. Pengikut yang taksub ini memaksa orang ramai mempelajari akidah Al-Habasyiah dengan ngetuk pintu rumah dan menyebarkan buku syeikh secara percuma.

Antara tokoh Ahbash ini ialah Nizar Al-Halabi digelar Samahatu Al-Syeikh gelaran bagi mufti. Pengikut taksub ini menconteng dinding dengan slogan "Katakan tidak kepada Hassan Khalid (Mufti Lubnan) yang kafir, dan katakan ya kepada mufti Nizar Al-Halabi".
Mufti Hassan Khalid dibunuh kumpulan Ahbash. Nizar Al-Halabi juga dibunuh kerana fatwa sesat dikeluarkannya. Begitulah akhlak buruk pengikutnya diajar guru mereka, Al-Harari iaitu mudah melemparkan tuduhan kafir kepada sesiapa sahaja yang tidak bersetuju mereka.

Akidah & ajaran dianuti

Ahbash mendakwa bermazhab dengan Mazhab Al-Syafi’e dalam fikah dan akidah, hakikatnya mazhab mereka jauh dari mazhab Al-Syafi’e. Semberono mentakwilkan sifat ALLAH tanpa kaedah betul, contohnya mentakwilkan (mengubah sifat ALLAH Istiwa' kepada Istila') iaitu berkuasa seperti dilakukan mazhab Muktazilah dan Jahmiyyah.

Al-Harari Al-Habasyi mendakwa al-Quran adalah lafaz Jibrail, bukan kalamullah sepertimana akidah ASWJ. Ini boleh dilihat dalam kitab ditulis Al-Harari, Izdharul Aqidati Al-Sunniyyah: halaman 51.

Ahbash dalam masalah berkaitan dengan iman seperti Murjiah dan Jahmiyyah iaitu memisahkan antara iman dan amal. Amalan seseorang tidak ada kena mengena dengan iman. Maka seorang itu dikira beriman walaupun meninggalkan solat dan juga rukun Islam lainnya. Ini bercanggah dengan akidah ASWJ yang menyatakan Islam itu ialah iman dan amal. Lihat buku Al-Harari Al-Dalil Al-Qawim halaman 7 dan kitabnya Bughyatu Al-Tolib halaman 51.

Al-Harari berkata: "Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat ALLAH dalam dirinya, tidak melaksanakan kefarduan ditetapkan ALLAH, tidak menjauhkan diri dari kemaksiatan, tetapi seumur hidupnya dia pernah mengucapkan La ilaha illallah walaupun sekali, dia seorang Islam beriman. Juga disebutkan sebagai orang beriman yang berdosa. Rujuk Al-Dalil Al-Qawim halaman 9-10 dan Bughyatu al-Tolib halaman 51.

Ahbash dalam masalah Al-Qadr adalah Jabariyyah. Mereka mendakwa ALLAH menolong seorang kafir atas kekufurannya, kalau tidak kerana ALLAH tidaklah seorang kafir itu menjadi kafir. Lihat kitabnya Al-Nahju Al-Salim halaman 71.

Ahbash menggalakkan pergi ke kubur dan memohon hajat kepada ahli kubur. Dakwaan mereka, ahli kubur keluar dari kubur menunaikan hajat pemohon kemudian kembali ke kubur semula.

Begitu juga mereka membenarkan memohon perlindungan dari selain ALLAH. Lihat Al-Dalil Al-Qawim halaman 173, Bughyatu Al-Tolib muka surat 8 dan Sorih Al-Bayan muka surat 57 dan 62.

 Ahbash mensahihkan hadis lemah dan palsu yang menyokong mazhabnya dan sebaliknya melemahkan sesuatu hadis sekiranya bercanggah dengan mazhabnya. Boleh dilihat dengan jelas dalam kitabnya Al-Maulid Al-Nabawi.

Al-Harari mencela sahabat terutamanya Muawiyyah bin Abi Sufian RH, Aisyah RA, mengutuk Khalid bin Al-Walid dan sahabat lainnya. Dia juga berkata sesiapa yang tidak bersama pemerintahan Ali mati dalam keadaan jahil.

Al-Harari mengkafirkan ulama, dia menghukum Ibnu Taimiyyah kafir dan menjadikan kewajipan pertama bagi setiap mukalaf mengiktiraf kekufurannya. Begitu juga Imam Al-Zahabi di sisinya seorang yang keji. Mengkafirkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Sayyid Sabiq, Sayyid Qutub, Syeikh Al-Qaradhawi, Syeikh Said Ramadhan Al-Buti dan ulama yang lainnya. Tetapi Ibn Arabi seorang yang sepakat ulama mengatakan kufurnya fahaman yang dibawa iaitu wahdatul wujud, akidah hulul dan sebagainya, Al-Harari mengatakannya sebagai Syeikhul Islam.

Antara fatwa Al-Harari Al-Habasyi dalam fikah yang pelik ialah seperti bolehnya melihat kepada wanita ajnabiah (tidak menundukkan pandangan), ihktilat (percampuran lelaki dan wanita), boleh bersalam-salaman antara wanita ajnabiah, wanita boleh keluar rumah dalam keadaan tabaruj dan memakai wangian walaupun tanpa keizinan dan keredaan suami. Boleh berjual-beli anak yang merdeka, boleh makan riba dan bersolat dengan pakaian bernajis. Lihat Bughyatu Al-Tolib halaman 99.

Maka dari apa disebutkan ciri-ciri kumpulan Ahbash ini boleh disimpulkan:

Bermazhab dengan Mazhab Al-Asy'ari yang terkemudian dalam masalah sifat-sifat ALLAH yang lebih menghampiri mazhab Jahmiyyah.

Bermazhab Murjiah dan Jahmiyyah dalam masalah iman berpegang dengan tarekat kesufian yang menyeleweng seperti Tarekat Al-Rifa'ie dan Naqsyabandiah dan juga akidah golongan Al-Batiniyyah.

Mengkafirkan ulama dan umat Islam umumnya yang tidak sehaluan dengan mereka.

Mensahihkan hadis lemah atau palsu berdasarkan apa yang selari dengan kumpulan mereka dan melemahkan hadis sahih sekiranya bercanggah dengan kumpulannya.

Mengaburi masyarakat dengan gelaran ulama hadis dan sebagainya yang mereka berikan kepada Al-Harari seperti Al-Allamah Al-Muhaddis.

Antara kitab yang ditulis Abdullah Al-Harari disebarkan di Malaysia termasuk di perpustakaan universiti tempatan seperti:
Sorih Al-Bayan.

Kitab Al-Maulid Al-Nabawiy.

Al-Dalil Al-Qawim 'Ala Sirat Al-Mustaqim.

Bughyatu Al-Tolib fi Makrifati Ilmi Al-Din Al-Wajib dan lain-lain.

Ini antara pegangan mereka bawa dan seru kepadanya. Ulama terkenal seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili, Syeikh Said Ramadhan Al-Buthi dan majlis fatwa dunia menfatwakan kesesatan pegangan mereka dan mengingatkan umat supaya berwaspada.

Masyarakat di Malaysia harus berwaspada terhadap  pemikiran ekstrem mudahnya menghukumkan kafir dan sesat sekiranya berbeza pendapat dengan mereka. Kembalilah kepada ajaran ASWJ yang dibawa dan difahami generasi terbaik umat ini iaitu sahabat.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/ultras/liga-malaysia/ahbash-berselindung-di-sebalik-aswj-1.489849

3 comments:

Hamba Allah said...

Terima kasih. Sangat terang dan nyata.

Unknown said...

Astarghfirullah, awak jgn percaya page ni. banyak yg karut ni. awak baik beli kitab mukhtasor Sheik Abdullah Al Harari sendiri. byk yg bercanggah dgn apa yg page ni tulis.

Unknown said...

Assalamualaikum. tuan/cik yang mengedit ni atau menulis penulisan di page ni mohonlah jangan sesuka hati menfitnah Sheikh Abdullah Al Harariy. Saya dah belajar kitabnya dan isinya tak sama langsung dgn apa yg ditulis disini. Mengarut ya cik ni tulis kat sini. tolong lah padam penulisan ni nnti di akhirat akan diminta pertanggungjawapan.