Monday, February 25, 2008

“Al-Quran Kalamullah Sebagaimana Mazhab Ahmad bin Hanbal Bukan Al-Baqilani”

Oleh: Abu Ar-Rubaiyyi' As-Salafy


Al-Imam Ibn Taimiyyah R.H telah mendatangkan sebuah perkataan yang sangat berharga dinukilkan daripada Abu Hamid Al-Isfirayini:

"اشهدوا علي بأن القرآن كلام الله غير مخلوق كما قال أحمد بن حنبل لا كما يقول الباقلاني"

Maksudnya: “saksikanlah bagi pihak ku bahawa (aku beriktiqad) Al-Quran Kalamullah bukan Makhluk sebagaimana aqidah Ahmad bin Hanbal bukan aqidah Al-Baqilani”.- (Syarhul Aqidah Al-Asfahaniyyah)

Maka di sini amatlah menarik perhatian kita, kenapakah seorang ulama’ besar mazhab Syafi’i ini membezakan aqidahnya dengan seorang lagi pemuka mazhab Syafi’i, Al-Baqilani, dalam masalah Al-Quran Kalamullah? Bukankah kedua-dua Imam ini percaya bahawa Al-Quran Kalamullah? Yang pasti telah masyhur Al-Baqilani adalah bukan muktazilah, tetapi Al-Asy’ariyyah. Jika Al-Asya’irah adalah ahli Sunnah kenapa Abu Hamid membezakan aqidahnya daripada Al-Baqilani? Maka marilah kita perhatikan perbezaan Al-Baqilani dengan Abu Hamid atau lebih tepat antara Al-Asya’irah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam masalah Al-Quran setelah mereka sama-sama setuju Al-Quran Kalamullah.

Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah:

Ahli Sunnah wal Jamaah menyatakan bahawa Al-Quran itu Kalamullah Huruf dan Maknanya sekali. Maka Al-Quran yang dibawa oleh Jibril A.S kepada Nabi Muhammad S.A.W itu adalah Al-Quran yang sebenar, Allah lah yang berkata dengannya dan menurunkan secara wahyu. Jibril mendengarnya daripada Allah, dan Muhammad S.A.W mendengarnya daripada Jibril A.S dan Umat Muhammad mendengarnya dari Muhammad S.A.W.

Kata Abu Hamid seperti yang disebut Imam Ibn Taimiyyah dalam Syarhul Aqidah Al-Asfahaniyyah:

"مذهبي ومذهب الشافعي وفقهاء الأمصار أن القرآن كلام الله غير مخلوق ومن قال مخلوق فهو كافر والقرآن حمله جبريل مسموعا من الله تعالى والنبي صلى الله عليه وسلم سمعه من جبريل والصحابة سمعوه من النبي صلى الله عليه وسلم وهو الذي نتلوه نحن بألسنتنا فما بين الدفتين وما في صدورنا مسموعا ومكتوبا ومحفوظا ومنقوشا كل حرف منه كالباء والتاء كله كلام الله غير مخلوق ومن قال مخلوق فهو كافر عليه لعائن الله والملائكة والناس أجمعين".

Maksudnya: “Mazhabku dan mazhab Asy-Syafi’I dan seluruh Fuqaha’ Amsar (negeri-negeri Islam) adalah Al-Quran Kalamullah bukan Makhluk, sesiapa yang mengatakan ia adalah makhluk maka dia kafir, dan Al-Quran itu dibawa oleh Jibril setelah mendengar daripada Allah Taala dan Nabi S.A.W mendengarnya daripada Jibril dan Sahabat mendengarnya daripada Nabi S.A.W dan Al-Quran itulah yang kit abaca dengan lidah-lidah kita, maka apa yang ada antara dua helaian (mushaf), dan apa yang dihafal di dada kita, didengari, ditulis,dihafaz, dan diukir setiap huruf daripadanya (Al-Quran) seperti Ba’, Ta’ semuanya Kalamullah bukan Makhluk dan barangsiapa yang berkata ia makhluk maka dia kafir atasnya laknat Allah,Malaikat dan manusia sekaliannya”.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah R.H:

وَالْقُرْآنُ كَلَامُ اللَّهِ بِحُرُوفِهِ وَنَظْمِهِ وَمَعَانِيهِ كُلُّ ذَلِكَ يَدْخُلُ فِي الْقُرْآنِ وَفِي كَلَامِ اللَّهِ

Maksudnya: “dan Al-Quran itu Kalamullah dengan huruf dan nazamnya dan maknanya semua itu termasuk dalam ertikata Al-Quran dan Kalamullah”- (Majmu’ Al-Fatawa)

Kata Imam Al-Bukhari R.H sebagaimana diceritakan pada kita oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah R.H:

" وَأَقُولُ : فِي الْمُصْحَفِ قُرْآنٌ وَفِي صُدُورِ الرِّجَالِ قُرْآنٌ فَمَنْ قَالَ غَيْرَ هَذَا يُسْتَتَابُ ؛ فَإِنْ تَابَ وَإِلَّا فَسَبِيلُهُ سَبِيلُ الْكُفْرِ "

Maksudnya: “dan aku berkata: dalam mushaf ini adalah Quran dan yang dihafal di dada-dada lelaki itu Quran sesiapa yang berpendapat selain ini maka hendaklah disuruh bertaubat jika dia bertaubat maka selamat jika tidak maka dia berada atas jalan kekafiran”- (Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah).

Ini adalah pendapat Ahli Sunnah wal Jamaah dalam masalah Al-Quran. Maka apakah pula pendapat Al-Baqilani? Marilah kita lihat apakah pendapat Al-asya’irah dalam masalah ini:

Kata Syeikh Soleh Alu Syeikh dalam menceritakan mazhab asya’irah tentang Quran:

قول الأشاعرة ذكرنا لكم أن كلام الله معنى وأن القرآن ألقي في نفس جبريل فعبر عنه

Maksudnya: Mazhab Al-Asya’irah telah kami sebutkan bagi kamu bahawa kalam Allah adalah makna dan Al-Quran dilontarkan (maknanya) ke dalam jiwa Jibril dan dialah (Jibril) yang mengibaratkannya (yakni menyusun ayat dalam bahasa Arab). – (Syarah Thahwiyah li Syeikh Soleh Ali Syeikh).

Al-Asya’irah berpendapat bahawa Al-Quran yang diturunkan adalah makhluk dan hanya ibarat dari kata-kata Allah. Jika diibaratkan dengan Bahasa Ibrani jadilah Taurat, jika diibaratkan dengan bahasa Suryani jadilah Zabur dan sebagainya.

Kata Al-Baqilani dalam Al-Insaf:

ويجب أن يعلم أن الكلام الحقيقي هو المعنى الموجود في النفس لكن جعل عليه أمارات تدل عليه، فتارة تكون قولاً بلسان على حكم أهل ذلك اللسان وما اصطلحوا عليه وجرى عرفهم به وجعل لغة لهم، وقد بين تعالى ذلك بقوله: " وما أرسلنا من رسول إلا بلسان قومه ليبين لهم " فأخبر تعالى أنه أرسل موسى عليه السلام إلى بني إسرائيل بلسان عبراني، فأفهم كلام الله القديم القائم بالنفس بالعبرانية، ...."

Maksudnya: “ dan wajib diketahui bahawa kalam yang sebenar itu wujud dalam diri tetapi dijadikan tanda-tanda baginya maka kadang-kadang berbentuk perkataan dengan bahasa ahli bahasa tertentu berdasarkan apa yang mereka jadikannya sebagai istilah dan berlaku adapt mereka dan menjadikannya sebagai bahasa mereka. Dan Allah Taala telah menjelaskan dengan firman-Nya: (maksudnya) “Tidaklah kami utuskan seorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya”. Maka Allah memberitahu kepada kita bahawa Dia mengutus Musa A.S dengan bahasa Ibrani, maka difahamkan kalam-Nya yang qadim yang berdiri dengan zat-Nya dengan bahasa Ibrani….”

Berkata Abu Mansur Al-Maturidi dalam menjelaskan mazhab Asya’irah berkenaan Al-Quran:

Maksudnya: “dan berkata Al-Asy’ariyah apa yang ada dalam mushaf bukanlah kalam Allah Taala bahkan ibarat daripada Kalam Allah Taala yang menghikayat akan kalam-Nya, oleh itu, mereka mengharuskan membakar mushaf. Kata mereka: Kerana kalam itu sifat dan sifat tidak lekang daripada mausuf”.-(syarh Fiqh Al-Akbar oleh Abu MAnsur Al-Maturidi,cet. Majlis Daerah Al-Maarif An-Nizamiyyah,Heydar Abad).

Kesimpulan:

Jelaslah kepada kita bahawa, Al-Asya’irah dalam masalah Al-Quran berbeza aqidahnya dengan Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan Imam Abul Hasan Al-Asy’ari sendiri menolak pendapat ini dan beliau dengan jelas menyebut bahawa aqidah Al-Quran adalah ibarat Kalam Allah adalah aqidah Kullabiyyah, bukan Aqidah Ahli Sunah seperti dalam kitabnya, Maqalat Al-Islamiyyin. Aqidah Abu Hasan dalam Ibanah bertentangan sama sekali dengan Asya’irah:

والقرآن مكتوب في مصاحفنا في الحقيقة، محفوظ في صدورنا في الحقيقة، متلو بألسنتنا في الحقيقة، مسموع لنا في الحقيقة

Maksudnya: “dan Al-Quran itu tertulis dalam mushaf kita secara hakiki (bukan ibarat) dihafaz di dada kita secara hakikat, dibaca dengan lidah kita secara hakiki dan didengari secara hakiki”. (Al-Ibanah ‘an Usulu Ad-Dianah,86,cet. Dar An-Nafais).

Maka jelaslah bahawa Aqidah Asyairah bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, Salaf As-Soleh. Oleh itu, firqah Al-Ahbash yang bermazhab Asyairah adalah sesat juga.

Tuesday, February 19, 2008

Ahbash mengambil mazhab asya'irah

Oleh: abu ar-rubayyi’ as-salafy


Fatwa Ulama’ Silam terhadap Asya’irah:


Fatwa Ulama’ Mazhab Maliki:

Berkata Ibn Khawaz ketika mensyarahkan kata-kata Imam Malik: “Tidak boleh diterima syahadah (penyaksian ahli bidaah dan hawa nafsu”:

" أهل الأهواء عند مالك وسائر أصحابنا هم أهل الكلام ، فكل متكلم فهو من أهل الأهواء والبدع أشعرياً كان أو غير أشعري ، ولا تقبل له شهادة في الإسلام أبداً ، ويهجر ويؤدب على بدعته ، فإن تمادى عليها استتيب منها"

Maksudnya: “Ahli Ahwa’ (hawa nafsu) di sisi Malik dan semua ashab kami (mazhab Maliki) adalah ahli kalam. Maka setiap ahli kalam maka dia adalah ahli bidaah dan hawa sama ada Asya’irah atau bukan asya’irah dan tidak diterima syahadahnya (penyaksian dalam mahkamah) dalam Islam selama-lamanya dan diboikot serta dihukum atas bidaahnya.Jika dia berdegil hendaklah di minta bertaubat”- (Manhajul Asya’irah fil Aqidah, Safar Al-Hawali,m/s 10 dan Ibn Abdil Barr, Jami’ Bayanul ‘ilmi wa Fadhlih, 2/96 cet.Al-Muniriah).

Mazhab Syafi’iyyah:

Kata Abul Abbas Ibn Suraij[1] yang digelar Syafi’I kedua:

" لا نقول بتأويل المعتزلة والأشعرية والجهمية والملحدة والمجسمة والمشبهة والكرامية والمكيفة بل نقبلها بلا تأويل ونؤمن بها بلا تمثيل "

Maksudnya: “Kita tidak beraqidah dengan takwilan Muktazilah dan Asy’ariyyah dan Jahmiyyah dan Mulhidah dan Mujassimah dan Musyabbihah dan Karramiyyah dan Mukayyifah bahkan kita menerimanya (ayat-ayat sifat) tanpa takwil dan tanpa menyerupakan”- (Manhajul Asya’irah fil Aqidah,Safar Al-Hawali, m/s 11)

Berkata pula Abu Hamid Al-Isfirayini:

"اشهدوا علي بأن القرآن كلام الله غير مخلوق كما قال أحمد بن حنبل لا كما يقول الباقلاني"

Maksudnya: “Saksikanlah atasku bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah bukan MAkhluk seperti mana aqidah Ahmad bin Hanbal bukan seperti Aqidah Al-Baqilani[2](yakni Al-Quran Ibarat Kalam Allah sahaja)”-(Syarhul Aqidah Al-Asfahaniyyah,Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, Muallafat Ibn Taimiyyah Maktabah Syamilah 2,11)>

Berkata Syeikhul Islam Abdullah Al-Harawi ketika ditanya kenapa dia mencerca Abul Hasan Al-Asy’ari oleh sultan kerajaan Nizamiyyah yang bermazhab Asya’irah:

لاَ أَعْرفُ أَبَا الحَسَنِ، وَإِنَّمَا أَلعنُ مَنْ لَمْ يَعتقد أَنَّ اللهَ فِي السَّمَاءِ، وَأَنَّ القُرْآن فِي المُصْحَف، وَيَقُوْلُ:إِنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - اليَوْمَ لَيْسَ بِنَبِيّ.

Maksudnya: “Aku tidak kenal siapa Abul Hasan tetapi aku melaknat sesiapa sahaja yang tidak percaya Allah berada di langit dan Al-quran tidak berada dalam mushaf dan berkata bahawa Nabi S.A.W bukan lagi Nabi sekarang”-(Siyar A’lam Nuabala’,Al-Hafiz Az-Zahabi, 18/512 edaran Muassasah Ar-Risalah).

Mazhab Hanafiyyah

Imam Abu Hanifah mengkafirkan orang yang meningkari Allah berada di atas langit. Maklum pula bahawa Asya’irah mengkafirkan orang beriktiqad Allah di langit. Maka aqidah mereka bertentangan. Begitu juga At-Thahawi pengarang Aqidah Thahawiyyah bermazhab Hanafi dan maklum beliau mengistbatkan sifat-sifat Allah tanpa takwil dan tamsil dan percaya al-Quran adalah Kalam Allah yang Haqiqi bukan Ibarat sebagaimana kata Asya’irah. Maka mereka tidak sehaluan.

Mazhab Hanabilah:

Inilah mazhab yang menjadi saksi utama bahawa Asya’irah bukanlah Ahli Sunnah yang sebenar. Saksi utama mereka ialah syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang dipenjarakan oleh kerajaan Asya’irah (Bani Mamluk). Kata Ibn Taimiyyah:

وأما الكلابية: فيثبتون الصفات في الجملة، وكذلك الأشعريون، ولكنهم كما قال الشيخ أبو إسماعيل الأنصارى : الجهمية الإناث، وهم مخانيث المعتزلة .

Maksudnya: “Adapun Al-Kullabiyyah[3] maka mereka menetapkan sifat secara umum begitujuga Al-Asy’ariyyah tetapi mereka seperti kata Syeikh Ismail Al-Ansari: Jahmiyyah Betina dan mereka adalah pondan-pondan Muktazilah”-(Al-Hasanah was-Sayyiah, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah,Muallafat Ibn Taimiyyah, Maktabah Syamilah 2.11).

Maka inilah sebesar-besar dalil bahawa Asya’irah adalah bukan Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi termasuk 72 firqah yang diancam dengan neraka. Adapun kedudukan Asya’irah sebagai Muslimin dan Ahli Qiblat tidak ada khilaf dalamnya. Ingkarnya Asya’irah terhadap Ketinggian Allah di Langit secara takwilan maka ini tidak menjadikan mereka kafir tetapi fasiq aqidah.



[1] . Ibn Suraij,murid kepada Al-Muzanni.Digelar Syeikh As-Syafi’iyyah pada zamannya. Disebutkan bahawa dia termasuk Mujaddid qurun 4 Hijrah. (w. 306H/918M)-Al-a’lam oleh Az-Zarkali.

[2] Abu Bakar Al-Baqilani (w. 1013M/ 403 H) ialah seorang pemuka mazhab Al-Asya’irah.Digelar juga sebagai Al-Qadhi Abu Tayyib Al-Asy’ari. Mazhab Asya’irah yang ada sekarang merujuk kepada beliau bukan Abul Hasan Al-Asy’ari.

[3] . Pengikut Abdullah bin Said Al-Kullab. Merupakan orang pertama yang mengatakan Al-Quran itu Ibarat Kalam Allah bukan Kalam Allah sebenar. Ibn Kathir menyatakan bahawa Abul Hasan Al-Asy’ari mengikuti mazhab ini selepas keluar dari Muktazilah sebelum menjadi salafi. Mazhab beliau semasa peringkat kedua inilah diikuti Asya’irah.

Saturday, February 9, 2008

AHBASH MEMFITNAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Tuduhan ke atas tokoh ulama Ahli Sunnah sebagai mujassimah dan musyabbihah bukanlah suatu yang baru kerana ia telah berlaku sejak dari dulu lagi ketika kemunculan aliran-aliran pemikiran yang sesat [ Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 33]. Dalam konteks ini, Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (227H) berkata (maksudnya):

“Tanda-tanda aliran Al-Jahmiyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai musyabbihah…” [Muhammad Ibn Idris Ibn Al-Munzir Ar-Razi, Asl As-Sunnah Wa I’tiqad Ad-Din, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 34].

Al-Barbahari rahimahullah (329H) pula berkata (maksudnya):

“Bila kamu mendengar seseorang berkata (kepada Ahli Sunnah): “Si fulan adalah musyabbih (menyerupakan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk) atau si fulan memperkatakan tentang tasybih, maka ketahuilah bahawa dia (orang yang berkata itu) ialah seorang Jahmiyyah” [Hasan Ibn ‘Ali Ibn Khalaf Al-Barbahari, Syarh As-Sunnah, Tahqiq: Muhammad Sa’id Salim Al-Qahtani, Dar Ibn Al-Qayyim, Dammam, Arab Saudi, 1408H, Hal: 52].

Manakala Abu ‘Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H) pula berkata (maksudnya):

“Ciri-ciri ahli bid’ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terang memusuhi dan menghina Ahli Sunnah dan Ahli Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil) dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Sifat Allah dengan sifat makhluk)” [ Ismail Ibn ‘Abd Ar-Rahman Ibn Ahmad, ‘Aqidah As-Salaf Wa Ashab Al-Hadith, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 35].

Justeru segala tuduhan yang dilemparkan oleh Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim mestilah dinilai dan dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, kerana seseorang yang sanggup berbohong ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tergamak mengecam para Sahabat radhiallahu 'anhum akan lebih tergamak untuk berbohong dan mengecam para ulama selain mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaan sebenarnya, lalu kamu menyesal di atas perbuatanmu itu” [ Al-Hujurat, 49: 6].


- Dipetik dari Buku 'Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?' Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, Rujuk: Tohmahan Pertama.

(tambahan sudah ditarik semula)


Abu-Hurairah


Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih

Judul sebenar kitab yang dinisbahkan oleh Al-Ghari kepada Ibn Taimiyyah ialah Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah Wa Majlis Al-Munazarah Fiha Baina Syeikh Islam Ibn Taimiyyah Wa ‘Ulama ‘Asrih. Berdasarkan judul ini, dapat difahami secara mudah bahawa kitab itu sebenarnya bukan karya Ibn Taimiyyah, tetapi karya ulasan oleh ulama terkemudian. Karya Ibn Taimiyyah yang sebenar ialah Al-Aqidah Al-Wasitiyyah.

Demikian juga bagi kitab Mukhtasar As-Sawa’iq Al-Mursalah, ia adalah ringkasan daripada karya asal Ibn Al-Qayyim yang berjudul As-Sawa’iq Al-Mursalah Fi Ar-Rad ‘Ala Al-Jahmiyyah Wa Al-Mu’attilah.

Bila dirujuk kepada kitab Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah dari awal sehingga akhir, maka didapati Ibn Taimiyyah langsung tidak menyebut ungkapan yang menunjukkan bahawa beliau berpegang dengan fahaman tajsim atau tasybih, sebaliknya keseluruhan kenyataan beliau berkenaan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala menjurus kepada penolakan terhadap dua jenis fahaman sesat, iaitu tajsim (menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atau tasybih) dan ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan, Ibn Taimiyyah sebenarnya langsung tidak menyebut perkataan takwil dalam kitabnya Al-Aqidah Al-Wasitiyyah seperti yang didakwa oleh Al-Ghari itu. Kata Ibn Taimiyyah:

فهذا اعتقاد الفرقة الناجية المنصورة إلى قيام الساعة، أهل السنة والجماعة وهو الإيمان بالله...ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه وبما وصفه به رسوله محمد صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا ثمثيل بل يوءمنون بأن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير فلا ينفون عنه ما وصف به نفسه ولا يحرّفون الكلم عن مواضعه ولا يلحدون في أسماء الله وآياته ولا يكيّفون ولا يمثّلون صفاته بصفات خلقه لأنه سبحانه لا سميّ له ولا كفو له ولا ند له ولا يقاس بخلقه سبحانه وتعالى...

Maksudnya: “Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) [Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1995, tafsiran ayat 46, surah An-Nisa’, Hal: 196], tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).

Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat [Asy-Syura 42: 11]. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…” [Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 5-7].

Di halaman yang lain, Ibn Taimiyyah berkata:

فإن الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة يؤمنون بذلك كما يؤمنون بما أخبر الله به في كتابه من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا تمثيل بل هم الوسط في فرقة الأمة كما أن الأمة هي الوسط في الأمم فهم وسط في باب صفات الله سبحانه وتعالى بين أهل التعطيل الجهمية وأهل التمثيل المشبهة...

Maksudnya: “Maka sesungguhnya firqah najiah Ahli Sunnah Wal Jamaah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas hadith berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitabNya, tanpa tahrif, tanpa ta’til, tanpa takyif dan tanpa tamthil. Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara ahli Ta’til Al-Jahmiyyah dan ahli Tamthil Al-Musyabbihah” [Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 23-24].

Berdasarkan kata-kata di atas, ternyata bahawa Ibn Taimiyyah berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memahami nas-nas Sifat, iaitu tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Ini jauh berbeza dengan golongan Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah yang berpegang dengan fahaman tajsim dan tasybih kerana mereka menyamakan kaifiyyat (bentuk dan ciri) sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluknya. Dalam kata-katanya itu, Ibn Taimiyyah cuba menjelaskan kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada antara dua jenis fahaman sesat yang melampau, iaitu fahaman tajsim (atau tasybih) dan fahaman ta’til [Disebabkan kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah itu, maka beliau judulkan kitabnya dengan judul Al-Wasitiyah yang bermaksud ‘sederhana’].

Dalam kitabnya yang lain Ibn Taimiyyah berkata:

فلا بد من إثبات ما أثبته الله لنفسه ونفي مماثلته لخلقه، فمن قال: ليس لله علم ولا قوة ولا رحمة ولا كلام ولا يحب ولا يرضى ولا نادى ولا ناجى ولا استوى كان معطّلا جاحدا ممثّلا لله بالمعدومات والجمادات، ومن قال: له علم كعلمي أو قوة كقوتي أو حب كحبي أو رضا كرضاي أو يدان كيديّ أو استواء كاستوائي كان مشبّها ممثّلا لله بالحيوانات، بل لا بد من إثبات بلا تمثيل وتنـزيه بلا تعطيل.

Maksudnya: “Maka tidak dapat tidak, mesti menetapkan apa yang telah Allah tetapkan bagi diriNya dan menafikan penyerupaanNya dengan makhlukNya. Sesiapa yang kata Allah tidak ada ilmu, tidak ada kekuatan, tidak ada kasihan belas, tidak ada percakapan, tidak ada kasih sayang, tidak ada keredaan, tidak memanggil, tidak menyeru dan tidak meninggi, maka dia adalah seorang pembatal yang ingkar (terhadap sifat Allah) dan yang menyamakan Allah dengan benda yang tiada atau benda yang kaku.

Manakala sesiapa yang kata ilmuNya seperti ilmuku, kekuatanNya seperti kekuatanku, kasih sayangNya seperti kasih sayangku, keredaanNya seperti keredaanku, tanganNya seperti tanganku dan meninggiNya seperti meninggiku, maka dia adalah seorang musyabbih yang menyamakan Allah dengan haiwan (makhluk). Justeru, tidak dapat tidak, mesti mengithbatkan (menetapkan) tanpa penyamaan dan mesti mensucikan tanpa pengingkaran” [Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Ar-Risalah at-Tadmuriyyah, Hal: 30. Dipetik daripada Sa’id Ibn ‘Ali al-Qahtani 1411H, Syarh Asma’ Allah al-Husna Fi Dau’ al-Kitab Wa as-Sunnah, Wazarah al-I’lam, Riyadh, Arab Saudi, Hal: 64].

Penjelasan Ibn Taimiyyah ini sudah tentu dilihat sebagai akuan dan penetapan beliau terhadap kebenaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana itu, dan bukan sebagai akuan terhadap fahaman tajsim. Adalah sangat tidak munasabah jika seorang tokoh ulama yang telah menjelaskan kesesatan fahaman tajsim tiba-tiba dituduh berpegang dengan fahaman tersebut.

- Dinukil daripada Buku 'Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?' Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin al-Ghari ke Atas Pengangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya.

Thursday, February 7, 2008

Ahbash dan Asya’irah mengatakan Al-Quran yang ada di dunia ini makhluk!!

Antara aqidah yang batil dan bersalahan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mereka mengatakan Al-Quran yang ada di dunia adalah baru. Terdapat banyak buku-buku yang menjelaskan aqidah mereka ini. Antaranya sebuah kitab tauhid Asya'irah di dalam buku Jauharah Al-Tauhid (جوهرة التوحيد) yang dikarang oleh Syeikh Ibrahim Al-Laqqoni dan diterjemahkan oleh H.Mujiburrahman dalam judul Permata Ilmu Tauhid terbitan Pustaka Jiwa Sdn. Bhd. Hal 217.

فكل نص للحدوث <> دلا احمل على اللفظ الذي قد دلا

“Maka tiap-tiap nas yang menunjuk atas kebaharuan Al-Quran, bawalah dia atas lafaz yang telah menunjuk (kepada sifat yang qadim)”

Disyarahkan bahawa pada perkataan للحدوث دلا ertinya: دل على حدوث القرآن yang bermaksud “Yang menunjuk atas kebaharuan Al-Quran. Kemudian pada kalimah احمل على اللفظ ertinya: Bawalah dia atas Al-Quran dengan makna lafaz yang diturunkan atas Nabi kita s.a.w…. Menurut qaul yang rajih bahawa yang diturunkan itu adalah lafaz dan makna. Ada dikatakan bahawa yang diturunkan itu adalah makna dan Jibrillah yang mengibaratkan dengan lafaz-lafaz dari dirinya sendiri. Ada pula dikatakan bahawa yang diturunkan itu adalah makna dan Nabi s.a.w yang mengibaratkan dengan lafaz-lafaz dari dirinya sendiri. Akan tetapi yang ditahqiq adalah yang pertama kerana Allah menciptakannya dahulu pada Lauhul Mahfuz kemudian menurunkannya dalam satu bentuk lembaran-lembara kepada langit dunia pada satu tempat yang dinamakan Baitul Izzah….” [Rujuk – Permata Ilmu Tauhid, Syeikh Ibrahim Al-Laqqoni, hal 218]

Kemudian disambung lagi syarahnya pada kalimah الذي قد دلا adalah sifat dari lafaz dimana maksudnya: yang telah menunjuk atas sifat yang qadim dengan jalan dilalah iltizam sebagaimana telah terdahulu. Kemudian pengarang memberi kesimpulan: “Bahawa tiap-tiap daripada zahir Al-Quran dan Sunnah yang menunjuk atas kebaharuan Al-Quran maka dia dibawa atas lafaz yang dibaca, bukan atas kalam nafsi. Akan tetapi tercegah untuk dikatakan Al-Quran itu makhluk kecuali pada maqam ta’lim. [Hal 219]




Penilaian semula:

Asya’irah berpendapat bahawasanya kalam yang azali itu ialah kalam nafsi, iaitulah kata-kata dalam hati ataupun dalam diri bagi seorang manusia dan kata-kata yang ada pada Allah Ta’ala yang tidak kita ketahui bagaimana rupanya yang tiada berhuruf lagi tiada bersuara, yang tiada dahulu dan tidak ada yang kemudian. Dalil mereka ialah kata-kata seorang penyair nasrani Al-Akhthal:

إن الكلام لفي الفؤاد <> وإنما جعل اللسان على الفؤاد دليلا

“Sesungguhnya kalam itu adalah benar-benar di dalam hati dan hanyalah dijadikan lidah itu untuk menjadi petunjuk atas apa yang ada di dalam hati.”

[Rujuk – Permata Ilmu Tauhid, Syeikh Ibrahim Al-Laqqani, hal 151]

Maka kata Asya’irah Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w yang berupa bahasa arab adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah s.a.w untuk menggambarkan kata-katanya yang nafsi dan bukanlah kata-kata Allah yang sebenar. Adapun kalam Allah yang sebenar itu satu jua dan tidak berbilang-bilang, maka jika ia diibaratkan dengan bahasa Ibrani jadilah ia Taurat, Jika ia diibaratkan dengan bahasa Suriani jadilah ia Zabur dan sebagainya. Maka oleh sebab itulah sejarah telah menunjukkan betapa rosaknya aqidah aya’irah, apabila ulama-ulama Al-Azhar tidak bersetuju Al-Quran diterjemahkan. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana aqidah mereka inilah iaitu jika Al-Quran diterjemahkan maka ia akan berubah menjadi kitab lain.

Inilah aqidah yang rosak oleh puak-puak ahbash yang aqidah mereka adalah aqidah asya’irah. Sedangkan dalil-dalil dari Al-Quran dan Sunnah sekian banyaknya menunjukkan bahawa Al-Quran adalah kalam Allah maknanya, lafaznya, dan hurufnya. Bahkan apabila Al-Quran dibaca oleh manusia atau dituliskan dalam bebearapa mushhaf sekalipun, tidaklah ia keluar terkeluar dari kedudukannya sabagai kalam Allah yang hakiki.


Firman Allah:

الم (1) ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2)


Maksudnya: “Alif Laam Miim, Kitab (Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”. [Surah Al-Baqarah ayat 1 & 2]


Demikian huruf Alif, huruf laam, dan huruf Miim, adalah huruf-huruf yang tedapat dalam Al-Quran kesemuanya adalah Al-Quran yang bersifat Kalam Allah yang tidak diragukan lagi.


وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, Maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar Kalam Allah, Kemudian hantarkanlah ia ketempat yang aman baginya. demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak Mengetahui. [Surah At-Taubah ayat 6]


يُرِيدُونَ أَنْ يُبَدِّلُوا كَلَامَ اللَّهِ


Maksudnya: “Mereka menginginkan untuk dapat merubah Kalam Allah” [Surah Al-Fath ayat 15]


أَفَتَطْمَعُونَ أَنْ يُؤْمِنُوا لَكُمْ وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌ مِنْهُمْ يَسْمَعُونَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ مِنْ بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمْ يَعْلَمُونَ


Maksudnya: Apakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan dari mereka mendengar Kalam Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui?. [Surah Al-Baqarah ayat 75]

Terdapat banyak lagi dalil-dalil yang menyebut Al-Quran adalah Kalam Allah serta hadis-hadis yang tidak saya nyatakan di sini. Apakah kita ingin mendustakan ayat-ayat Allah ini?


Abu-Hurairah

www.ahbash-sesat.blogspot.com