Saturday, October 26, 2013

Aqidah Para Salafus Soleh: Tuhan Ar-Rahman Beristiwa` Di Atas 'Arasy

Sebahagian rakan-rakan saya ada yang tertanya-tanya tentang blog saya ini. Oleh kerana telah lama tidak dikemaskini dan tidak diisi dengan artikel-artikel yang baru. Maka sebagai memenuhi permintaan rakan-rakan, insyaAllah saya akan memulakan semula tulisan saya dengan judul 'Aqidah Para Salafus Soleh: Tuhan Ar-Rahman Beristiwa` Di Atas 'Arasy' sebuah pegangan akidah yang dipegang oleh para salafus-soleh khususnya 3 generasi awal Islam dari kalangan sahabat, tabiin dan tabi' tabi'in serta mereka yang mengikuti mereka dengan benar.

Gambar Hiasan

Bukan sebagaimana yang dipegang oleh golongan pelampau Asya'irah dan Ahbash yang sering mendengungkan laungan mereka 'Tuhan Wujud Tanpa Bertempat'. Padahal ucapan tersebut tidak pernah dilaungkan oleh walau satupun dari kalangan salafus-soleh dari kalangan sahabat, tabiin dan tabi' tabi'in. Lebih-lebih lagi jika kita minta mereka mengeluarkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih lagi sarih (jelas) menerangkan Allah itu tidak bertempat atau dengan kata lain, mereka sebenarnya menafikan Allah SWT beristiwa' di atas 'Arasynya. Padahal Allah SWT sendiri yang mengkhabarkan tentang diriNya tersebut dengan firmanNya:

الرحمن على العرش الستوى

Maksudnya: "Tuhan Ar-Rahman yang beristiwa` di atas 'Arasy." (Surah Taha: 5)

Sesungguhnya Allah SWT beristiwa` di atas 'Arasy, tetapi Allah tidak berhajat kepadanya. Maha suci Allah Ta'ala daripada berhajat kepadanya, bahkan Dia beristiwa` dengan hikmah yang Dia Maha Mengetahui. Istiwa` Allah di atas 'Arasy itu bukan bererti Dia dilingkungi oleh 'Arasy dengan sekatan tertentu. Maha suci Allah daripada menyerupai makhluk tetapi istiwa`Nya mengikut cara yang layak bagi ZatNya yang Maha Besar lagi Maha Suci yang tidak dapat diketahui oleh makhlukNya akan kaifiatNya. 

Wajib untuk kita semua beriman dengan aqidah serta keyakinan yang dipegang oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya serta mereka yang mengikuti jejak mereka sehinggalah hari kiamat. Berikut ini adalah keterangan Salafus-soleh sama ada dari kalangan para sahabat, tabiin dan tabi' tabi'in serta mereka yang datang selepas daripada mereka yang menjelaskan tentang masalah ini:

1. Abu Bakar As-Siddiq r.a pernah mengucup dahi Rasulullah s.a.w setelah baginda wafat lalu berkata:

من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات، ومن كان يعبد الله فإن الله في السماء حي لا سموت

"Sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa yang menyembah Alah, maka Allah berada di atas langit, Dia tetap hidup dan tidak akan mati." (Itsbat Sifat Al-'Uluw, Ibnu Qudamah Al-Maqdisi, halaman 101-102) 

2. Umar bin Al-Khattab r.a berkata:

هذه خولة بنت حكيم التي سمع الله قولها من فوق سبع سماوات، فعمر أحق أن يسمع لها

"Ini ialah Khaulah binti Hakim yang mana Allah mendengar perkataannya di atas tujuh petala langit, maka Umar lebih berhak mendengar kata-katanya." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 103)

3. Ibnu 'Abbas r.ahuma berkata:

إن الله عز وجل كان على عرشه قبل أن يخلق شيئا فخلق الخلق فكتب ما هو كائن إلى يوم القيامة

"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berada di atas 'Arasy sebelum Dia menjadikan sesuatu, maka Dia menjadikan makhluk, dan menulis (takdir) setiap yang ada (diciptakan) sehingga hari kiamat." (Syarh Usul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah, Al-Lalikai, jilid 3, halaman 396)

4. Ibnu Mas'ud r.ahuma berkata:

والله فوق العرش لا يخفى عليه شيء من أعمال بني آدم

"Dan Allah berada di atas 'Arasy, tiada yang tersembunyi kepadaNya sesuatu pun daripada perbuatan anak Adam (manusia)." (Syarh Usul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah, 3/396)

5.  Imam Malik r.h berkata:

الله في السماء، وعلمه في كل مكان ولا يخلو منه شيء

"Allah berada di atas langit, dan ilmuNya ada di setiap tempat dan tidak sunyi daripadaNya sesuatu pun." (Itsbat Sifat Al-'Uluw, halaman 115)

Dalam ucapan lain, beliau berkata:

الكيف غير معقول، والإستواء منه غير مجهول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة

"Kaifiat (tatacara bagaimana sifat Istiwa`) itu tidak dapat digambarkan oleh akal, dan (sifat) Istiwa itu darinya tidaklah majhul (yakni ia bukanlah sesuatu yang tidak diketahui akan maknanya), dan keimanan dengannya adalah kewajipan, dan bertanyakan tentangnya (iaitu bagaimana kaifiatnya) adalah bid'ah (sesuatu yang baru)." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 119) 

6. Imam Abu Hanifah r.h berkata:

من أنكر أن الله تعالى في السماء فقد كفر

"Barangsiapa yang ingkar bahawa Allah Ta'ala berada di atas langit, maka dia telah kafir." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 117)

7. Imam Asy-Syafi'ie r.h berkata:

القول في السنة التي أنا عليها، ورأيت الذين رأيتهم مثل سفيان ومالك وغيرهما: الإقرار بشهادة أن لا إله إلا الله، وأن محمدا رسول الله، وأن الله على عرشه في سمائه، يقرب من خلقه كيف شاء، وينزل إلى السماء الدنيا كيف شاء

"Perkataan yang mengikuti sunnah yang mana aku berada di atasnya serta aku melihat orang-orang yang berada di atasnya seperti Sufyan, Malik dan selain mereka berdua ialah berikrar (mengakui) dengan persaksian bahawasanya Tidak ada Tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, dan bahawasanya Allah beristiwa` di atas 'ArasyNya di atas langitNya, (pengetahuanNya) dekat dengan makhlukNya sebagaimana yang dikehendakiNya, dan Dia (Allah) turun ke langit dunia sebagaimana yang dikehendakiNya (juga)." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 123-124)

8. Imam Ahmad bin Hanbal r.h pernah suatu ketika ditanya, benarkah Allah Azza wa Jalla berada di atas langit yang ketujuh, di atas 'ArasyNya jauh dari makhlukNya, dan kudrat serta ilmuNya berada di setiap tempat? Maka beliau menjawab:

نعم، هو على  عرشه ولا يخلو شيء من علمه

"Ya, Dia berada di atas 'ArasyNya, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada ilmuNya." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 116) 

9. Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah r.h berkata:

من لم يقر بأن الله على عرشه قد استوى فوق سبع سماواته فهو كافر به

"Barangsiapa yang tidak mengaku bahawa Allah beristiwa` di atas 'ArasyNya, di atas langitNya yang ketujuh, maka dia telah kafir dengan sikapnya itu." (Istbat Sifat Al-'Uluw, halaman 127)

10. Imam Abul Hasan Al-Asy'ari r.h berkata:

 إن الله عز وجل يستوي على عرشه استواء يليق به من غير طول استقرار

"Kami mengatakan bahawa Allah Azza wa Jalla beristiwa` di atas 'ArasyNya dengan istiwa` yang layak bagiNya tanpa panjang ketetapanNya." (Al-Ibanah 'An Usul Ad-Diyanah, halaman 105) 

Demikianlah ucapan-ucapan di atas jelas menunjukkan keyakinan para Salafus Soleh adalah "Tuhan Ar-Rahman beristiwa' di atas 'ArasyNya menurut cara yang layak bagiNya (بلا كيف) tanpa dipersoalkan bagaimanakah tatacara dan bentuk Allah beristiwa` di atas 'ArasyNya. Menyibukkan diri untuk berusaha mengetahui bagaimana hakikat Allah beristiwa` sama sekali dilarang sebagaimana ucapan Imam Malik r. sebelum ini, kerana istiwa` adalah sifat Allah dan tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bagaimanakah rupa dan bentuk sifat serta Zat Allah itu, melainkan Allah lah jua.

Sabda Rasulullah s.a.w:

تفكروا في آلاء الله ولا تفكروا في الله

"Hendaklah kamu berfikir pada ciptaan Allah dan janganlah kamu berfikir tentang (Zat dan sifat) Allah." (Riwayat At-Tabrani dalam Al-Ausat dan Al-Baihaqi dalam Asy-Syu'ab; dari Ibnu 'Umar secara Marfu')

Penjelasan Makna Istiwa`

Kalau ada yang bertanya adakah makna istiwa` di dalam bahasa Arab itu difahami maknanya? Jawapannya adalah: Ya. Makna bagi sifat-sifat Allah tersebut semuanya dapat difahami makna-maknanya supaya dapat diambil pelajaran darinya. Bukan sebagaimana dakwaan golongan mufawwidhah yang menyerahkan makna sifat-sifat Allah tersebut kepada Allah sehingga mereka mengatakan ayat-ayat tersebut tidak mengandungi apa-apa makna?!

Imam At-Tabari r.h berkata:

وقوله ( الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى ) يقول تعالى ذكره: الرحمن على عرشه ارتفع وعلا

“Dan firman Allah (yang bermaksud) Tuhan Ar-Rahman beristiwa` di atas Arasy, Allah Ta'ala menyatakan bahawa: Ar-Rahman (Tuhan yang Maha Pemurah) di atas ArasyNya Irtafa'a (meninggi) dan 'ala (tinggi di atas)”. (Tafsir At-Tabari, 18/270)

Pernyataan Imam Tobari r.h di atas menyatakan maksud Istiwa` adalah:

(1) Irtafa'q (meninggi)
(2) 'Ala (tinggi di atas)
Manakala Imam Al-Bukhari r.h (pengarang sahih Bukhari) berkata:

بَابُ {وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى المَاءِ} [هود: 7]، {وَهُوَ رَبُّ العَرْشِ العَظِيمِ} [التوبة: 129] قَالَ أَبُو العَالِيَةِ: {اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ} [البقرة: 29]: «ارْتَفَعَ»، {فَسَوَّاهُنَّ} [البقرة: 29]: «خَلَقَهُنَّ» وَقَالَ مُجَاهِدٌ: {اسْتَوَى} [البقرة: 29]: «عَلاَ» {عَلَى العَرْشِ} [الأعراف: 54] ... انتهى

"Bab tentang: firman Allah "Dan adalah ArasyNya di atas air" [Hud: 7], "Dan Dialah Tuhan pemilik Arasy yang agung" [At-Taubah: 129]. Abu Al-'Aliyah berkata: "Istawa ilas-samaa`" (Beristiwa` di atas langit) [Al-Baqarah: 29] yakni Irtafa'a (meninggi). Firman Allah "Fasawwahunn" [Al-Baqarah: 29]: Menciptakannya dan berkata Mujahid: "Istiwa`" [Al-Baqarah: 29] bermaksud 'ala ('alal 'Arsy) tinggi "di atas langit" [Al-A'raf: 54]..." Selesai nukilan. (Sahih Al-Bukhari, no: 7418, jilid 9, halaman 124)  

Imam Bukhari membawakan tafsiran daripada Tabi'in iaitu:

(1) Abu Al-'Aliyah yang menyatakan makna istiwa` ialah irtafa'a (meninggi).
(2) Mujahid menyatakan makna istiwa' ialah 'ala fis-sama (tinggi di atas langit).

3. Imam Al-Qurtubi r.h berkata:

وقد كان السلف الأوّل رضي الله عنهم لا يقولون بنفي الجهة ولا ينطقون بذلك ، بل نطقوا هم والكافّة بإثباتها لله تعالى كما نطق كتابه وأخبرت رسله . ولم ينكر أحد من السلف الصالح أنه استوى على عرشه حقيقة . وخص العرش بذلك لأنه أعظم مخلوقاته ، وإنما جهلوا كيفية الاستواء فإنه لا تعلم حقيقته . قال مالك رحمه الله : الاستواء معلوم يعني في اللغة والكَيْف مجهول ، والسؤال عن هذا بدعة . وكذا قالت أم سلمة رضي الله عنها . وهذا القدر كافٍ ، ومن أراد زيادة عليه فليقف عليه في موضعه من كتب العلماء . والاستواء في كلام العرب هو العلوّ والاستقرار

“Dan adalah kaum Salaf yang terdahulu radiallahu’anhum tidak pernah menyatakan berkenaan penafian jihat (arah) dan mereka tidak pula mengucapkannya bahkan mereka semuanya bersepakat menetapkannya (Istiwa’) bagi Allah Taala seperti mana yang ditetapkan oleh KitabNya dan diberitahu para RasulNya. Dan tidak ada seorang pun daripada Ulama Salaf Soleh mengingkari bahawa Allah Taala itu beristiwa` secara hakiki di atas arasyNya dan dikhususkan dengan Arasy kerana ia adalah makhluk Allah yang paling besar tetapi mereka hanya tidak mengetahui kaifiat Istiwa maka tidak diketahui hakikatnya. Berkata Malik r.h: Istiwa itu maklum yakni pada bahasa dan kaifiatnya majhul, dan bertanya tentang ini (kaifiat) adalah bidaah. Demikian juga pertanyataan Ummu Salamah r.a. Cukuplah sekadar ini dan mereka yang hendak perbahasan yang lebih maka lihatlah di tempatnya dalam kitab-kitab Ulama. Dan Istiwa` dalam bahasa Arab itu bermaksud tinggi dan menetap”. (Tafsir al-Qurtubi, 1/2130-2131)

Imam Al-Qurtubi r.h seorang ulama tafsir yang terkenal dan merupakan ulama dalam mazhab Maliki serta terpengaruh dengan mazhab Asya'irah sendiri mengiktiraf mazhab salaf sebagaimana di atas. Beliau sendiri menyatakan makna Istiwa` dalam bahasa arab itu adalah:

(1) Al-'Uluw (tinggi).
(2) Al-Istiqrar (menetap).

Kesimpulannya, makna Istiwa menurut bahasa Arab adalah Irtafa'a (meninggi), 'Ala (tinggi di atas) atau 'Uluw (tinggi) dan Istiqrar (menetap). Tidak ada satu riwayat pun yang menyatakan makna Istiwa` adalah Istaula/Istila` yang bermaksud menguasai sebagaimana yang dipegang oleh golongan Muktazilah dan Asya'irah. Manakala sebahagian riwayat pula ada yang menyatakan makna Istiwa adalah So'uda (صعد) yang bermaksud naik, namun saya tidak sempat untuk membawakannya di sini. Dengan maksud tidak mahu artikel ini berjela-jela (terlalu panjang). Pada kesempatan lain, InsyaAllah saya akan cuba bawakan pendapat-pendapat lainnya dalam artikel-artikel berikutnya.

Wallahua'lam